TUMPAS...pemilik ayam bersama buaya yang memasuki kawasan rumahnya. |
Mohammad Ali Jais, 51, berkata dia baru bangun untuk bersahur bersama keluarganya pada kira-kira jam 4 pagi sebelum terdengar ayam diternak dalam sangkar depan rumahnya bising seperti ‘diganggu’ sesuatu.
“Saya terus melakukan pemeriksaan selepas mendapati bunyi itu tidak berhenti, sebaliknya semakin kuat dan bergegas keluar sebelum terkejut mendapati buaya berkenaan cuba menyambar ayam saya.
“Buaya itu dilihat sudah berada di tepi sangkar dan menunggu mangsa untuk menerkam ayam itu,” katanya ketika ditemui Harian Metro, semalam.
Mohammad Ali berkata, dia meminta bantuan tiga jiran sebelum menangkap dan mengikat kaki buaya itu dalam tempoh 15 minit walaupun reptilia itu cuba melawan.
Mohammad Ali mengakui sering melihat buaya itu timbul di sekitar tebing Sungai Sarawak, namun kejadian reptilia terbabit naik ke darat adalah pertama berlaku di perkampungan berkenaan.
“Sepanjang menetap di perkampungan ini, kejadian seperti ini tidak pernah berlaku dan saya percaya buaya itu naik ke darat kerana mahu mencari makanan disebabkan kelaparan,” katanya.
Katanya, dia bernasib kerana menyedari kehadiran buaya itu dan tidak menolak berkemungkinan reptilia itu bertindak ganas dan menyerang penduduk yang melalui kawasan berkenaan.-hmetro
No comments:
Post a Comment