Pages

Friday, August 12, 2011

Umar Patek diekstradisi ke Indonesia



Indonesia akan mendakwa Umar Patek


JAKARTA 11 Ogos – Indonesia akan mendakwa Umar Patek (gambar) atas tuduhan terlibat dalam serangan bom di Bali pada 2002 selepas Pakistan menyerahkan militan kanan itu kepada pihak berkuasa negara ini semalam.
Tentera Pakistan menangkap Umar di bandar Abbottabad di sempadan negara itu pada 25 Januari lalu, sebelum komando khas tentera laut Amerika Syarikat (AS) membunuh ketua al-Qaeda, Osama bin Laden dalam operasi khas di bandar sama pada Mei lepas.
Pakar bom bagi kumpulan Jemaah Islamiah (JI) itu dikehendaki oleh AS, Indonesia, Filipina dan Australia.
Umar, 41, tiba di Jakarta hari ini dan dibawa ke sebuah pusat tahanan, kata ketua agensi antikeganasan Indonesia, Ansyaad Mbai.
“Kami akan menyoal siasat Umar dan membawanya ke mahkamah dan mendakwanya,” kata Ansyaad.
Penganalisis keselamatan berkata, Umar adalah antara segelintir militan Indonesia yang akan dapat menjelaskan hubungan dan tahap kerjasama antara pelbagai kumpulan militan di Asia.
Namun pakar keselamatan juga bimbang kehadirannya di dalam penjara Indonesia mungkin bermakna dia boleh menyampaikan kemahirannya membuat bom kepada tahanan lain.
Kata Ansyaad, Umar boleh memberi ‘nafas baru’ kepada militan lain dan mendorong mereka untuk melancarkan serangan lagi.
Umar didakwa memasang bom-bom untuk serangan yang membunuh 202 orang di sebuah kelab malam di pulau peranginan Bali pada 2002.
Sejak serangan itu, beberapa tokoh penting JI yang didakwa terlibat dalam keganasan tersebut dibunuh, ditangkap atau dipenjarakan. – Reuters, utusan

No comments: