Pages

Monday, June 6, 2011

Wanita sebak temui anak mati terjerut

Mayat pengurus kedai jam dijumpai terikat tangan, kaki

AMPANG: Luluh hati seorang ibu apabila menemui mayat anak lelakinya dibunuh kejam dengan tangan dan kaki diikat, manakala lehernya dijerut di sebuah pangsapuri di Taman Pandan Utama, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 8 pagi itu, wanita terbabit yang enggan namanya disiarkan, berkata beliau seperti biasa ke rumah anak lelakinya menemui mayat pengurus kedai jam berkenaan dalam keadaan terlentang di bilik tidurnya.

“Memang setiap hujung minggu saya ke rumah anak mencuci pakaiannya. Biasanya dia buka pintu kalau saya datang. Namun, pagi tadi pintu berkunci dan banyak kali saya memanggilnya tetapi tidak berjawab, membuatkan saya tidak sedap hati.
“Menggunakan kunci diberikannya sebelum ini, saya masuk ke rumah dan mendapati anak saya sudah tidak bernyawa dalam keadaan menyedihkan,” katanya sambil menahan sebak.

Wanita berusia 60 tahun itu kemudian memaklumkan kejadian itu kepada pengawal keselamatan sebelum menghubungi polis.

Sementara itu, pemeriksaan polis mengesahkan mangsa dikenali Ng Kim Loong, 45, masih bujang dan bekerja sebagai pengurus di sebuah kedai jam di sini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Superintendan Md Nazri Zawawi, berkata siasatan awal di tempat kejadian mendapati kedua-dua tangan dan kaki mangsa diikat ke belakang menggunakan tali langsir serta kain, manakala lehernya dijerut menggunakan baju, dipercayai menjadi punca kematiannya.
“Berdasarkan keadaan di tempat kejadian, lebih daripada seorang individu terbabit dalam kes pembunuhan ini. Malah, kita percaya mangsa dibunuh antara jam 1 hingga 8 pagi tadi sebelum mayatnya ditemui,” katanya kepada pemberita, di sini, semalam.

Katanya, ketika ditemui, mangsa memakai seluar pendek dengan kemeja T dan keadaan di dalam bilik berkenaan juga berselerak dipercayai akibat pergelutan.
Berita Harian Online | Wanita sebak temui anak mati terjerut

No comments: