Pages

Monday, June 6, 2011

Guru tarekat mewah makan ‘zakat’ murid

Dakwa bercakap dengan malaikat, maha ketahui

IPOH: Seorang guru yang mengajar ajaran bercirikan tarekat di negeri ini bukan saja membawa ajaran menyimpang daripada Islam termasuk mengaku boleh bercakap dengan malaikat, malah hidup bersenang-lenang hasil wang anak murid yang ‘dipaksa’ membayar pelbagai jenis zakat kepadanya.

Perkara itu didedahkan bekas pengikut ajaran berkenaan yang mendakwa guru berusia 69 tahun itu mengenakan zakat kesihatan, keluarga, perjalanan, kenderaan dan haji rohani (ganti haji).

Sumber berkata, pengikut yang sudah lama mengikuti ajaran guru itu dikatakan menyerahkan sehingga RM50,000 seorang bagi membayar pelbagai jenis ‘zakat’ berkenaan kepada guru terbabit.
“Guru yang tidak mempunyai sebarang pekerjaan itu meminta semua pengikutnya membayar zakat kepadanya. Selain zakat, pengikut juga dikatakan perlu menyerahkan peratusan tertentu daripada pendapatan mereka untuk diberikan kepada guru berkenaan.

“Berdasarkan maklumat, kegiatan guru itu sudah berlarutan setahun lalu dan kini dikatakan mempunyai kira-kira 50 pengikut yang kebanyakannya sanggup datang dari jauh seperti Lembah Klang untuk mengikuti ajaran itu,” katanya kepada Berita Harian di sini.

Sumber itu berkata, guru beristeri tiga itu antara lain mengakui dirinya sudah sampai ke peringkat maha mengetahui mengenai amalan seseorang, boleh menarik balik amalan seseorang dan mengetahui tarikh kematian.

Katanya, pengakuan guru berkenaan dia mendapat Rahmat dari Nabi Isa dan boleh bersalaman dengan wanita serta sudah ketiadaan air mani kerana hanya diarahkan untuk berdakwah, dilihat ruang kepada guru terbabit untuk memperdaya pengikut wanita.
“Ajaran ini juga mendakwa Rabu adalah penghulu segala hari, bukannya Jumaat seperti yang dianjurkan Islam,” katanya.
Berita Harian Online | Guru tarekat mewah makan ‘zakat’ murid

No comments: