KAMARIAH mencium baju ditinggalkan dua anaknya yang maut dalam kemalangan di Machang kelmarin. |
BACHOK: Luluh hati Kamariah Yusof, 49, sebaik dimaklumkan dua anaknya maut bersama seorang sepupu mereka dalam nahas membabitkan dua kenderaan di Kilometer 46.8 jalan Kota Bharu-Kuala Krai, semalam.
Malah, ibu kepada lapan anak itu amat terkejut apabila tidak sampai satu jam setengah Noor Azura Mohd Saari, 18 dan Nur Aqilah Najiha, 14, menghubunginya, tiba-tiba dia dikejutkan dengan berita kemalangan maut berkenaan.
“Suara arwah sangat ceria memberitahu mereka akan pulang, malah dalam perjalanan pulang mereka ada menghubungi saya memaklumkan kepulangan mereka.
“Ketika itu, saya tidak mengesan apa-apa perubahan pada mereka, saya tidak menyangka itulah petanda mereka meninggalkan kami selama-lamanya,” katanya ketika ditemui di rumahnya, semalam.
Semalam, akhbar ini melaporkan seorang bapa, Halim Jusoh, 43, menyaksikan nahas kereta yang meragut nyawa anaknya Norhasmalinda, 24, dan dua sepupu mereka di Kilometer 46.8 jalan Kota Bharu-Kuala Krai.
Dalam kejadian jam 9.30 pagi itu, Norhasmalinda Halim, 24 dari Gua Musang dan dua sepupunya Noor Azura Mohd Saari, 18 dan adiknya Nur aqilah Najiha, 14, dari Bachok yang menaiki kereta Proton Wira maut serta-merta di tempat kejadian.
Kamariah berkata, dia menerima berita membabitkan anaknya itu pada jam 10 pagi oleh seorang sepupu menerusi panggilan telefon.
“Saya terus ke hospital untuk melihat keadaan dua anak, bagaimanapun, saya dimaklumkan bahawa mereka sudah meninggal, namun saya reda dengan pemergian mereka,” katanya. Berita Harian Online | Ibu reda kehilangan dua anak
No comments:
Post a Comment