KERANA mabuk cinta, seorang ahli perniagaan yang dikenali sebagai Datuk B sanggup menyalah guna kuasa sebagai pengerusi satu mesyuarat lembaga pengarah untuk memilih syarikat kontraktor bagi satu projek kerajaan negeri bernilai RM10 juta.
Datuk B yang diberi kuasa itu memilih syarikat milik gadis dikenali sebagai Suria yang ditubuhkan dengan modal RM10, malah tidak mempunyai sebarang pengalaman dalam bidang itu.
Jejak Rasuah dari fail Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) minggu ini memaparkan kisah teladan kerana mabuk kuasa dan cinta sehingga sanggup melakukan penyelewengan dengan meluluskan projek kepada orang tertentu untuk kepentingan peribadi.
Kisah cinta antara Datuk B dan Suria bermula ketika syarikat terkemuka yang diurus usahawan tersebut menawarkan jawatan kosong sebagai setiausaha kepada pengarah syarikat.
Suria yang baru berusia 21 tahun dan memiliki paras menawan merupakan salah seorang yang menghadiri temuduga jawatan tersebut.
Kali pertama melihatnya melangkah masuk ke ruang temuduga pejabat, hati Datuk B terus terpaut dengan kecantikan wajah dan bentuk tubuh seksi Suria.
Walaupun tiada pengalaman kerja, latar belakang akademik yang tidak cemerlang serta gagal ketika sesi temuduga, jawatan itu tetap ditawarkan kepada Suria.
Suria yang berasal daripada keluarga miskin pula mudah dipancing dengan barangan berjenama mewah dihadiahkan Datuk B kepada gadis itu.
Pada suatu hari, Datuk B melantik Suria sebagai pengurus sebuah syarikat yang baru ditubuhkan dengan modal RM10.
Dalam pada itu, kerajaan negeri menawarkan tanah bagi projek membuat batu bata dengan syarat pemohon mestilah ada modal dan berpengalaman dalam bidang itu.
Sebaik saja tawaran dibuka, banyak pihak memohon projek itu tetapi ketika mesyuarat lembaga pengarah, Datuk B yang mempengerusikan mesyuarat memutuskan syarikat Suria dipilih mengendalikan projek itu.
Banyak pihak tidak berpuas hati cara keputusan dibuat sehingga ada yang membuat siasatan dan melaporkan kepada SPRM.
Keseronokan Datuk B dan Suria yang sedang berasmara di sebuah hotel pada suatu malam bukan sahaja berakhir dengan serbuan mengejut pihak Jabatan Agama Islam, malah dia juga didakwa SPRM keesokan harinya kerana kes penyelewengan kuasa.
Lebih malang, isteri Datuk B menuntut cerai selepas mengetahui berita itu, manakala tawaran projek itu telah ditarik balik.
1 comment:
JOM JOIN.
ONLINE SETIAP HARI DAN BAKI DUIT DALAM BANK BERTAMBAH SEIAP MINGGU. DENGAN HANYA BERMODALKAN RM10.. SANGAT BERBALOI JIKA ANDA IKUT SEMUA PANDUAN YANG DIBERI..SANGAT MUDAH DAN PUAS HATI. UNTUK PERTANYAAN LANJUT..KLIK NAMA SAYA. TERIMA KASIH..
Post a Comment