Pages

Monday, June 6, 2011

7 mayat mangsa karam ditemui

PENGERANG: Lima lagi mayat daripada keseluruhan tujuh mangsa yang hilang selepas bot pancung membawa 24 pendatang tanpa izin karam dekat perairan Tanjung Ayam, Rabu lalu, ditemui dekat sini, semalam dan kelmarin.

Agensi Penguatkuasaaan Maritim Malaysia (APMM) menemui satu mayat pada kedudukan 1.4 batu nautika selatan Tanjung Kapal, dekat sini, pada kira-kira jam 7.30 malam kelmarin.

Ia diikuti penemuan satu mayat oleh penduduk kampung terdampar di pantai Sungai Musuh pada jam 8 pagi, disusuli satu mayat pada kedudukan dua batu nautika dari Tanjung Stapa pada kira-kira jam 9.52 pagi serta dua lagi mayat pada kedudukan 2.4 batu nautika tenggara Teluk Ramunia, masing-masing pada jam 10.30 pagi dan 1.30 petang.
Ketua Penguat Kuasa Maritim Wilayah Selatan, Laksamana Pertama Maritim Zulkifili Abu Bakar berkata, bot APMM iaitu Petir 11 bersama lima anggota yang sedang melakukan rondaan biasa segera ke lokasi pertama pada kira-kira jam 7.20 malam selepas mendapat mendapat maklumat daripada sebuah bot tunda yang melalui laluan berkenaan.

“Mayat itu ialah seorang lelaki berumur lingkungan 30-an, memakai baju-t yang digantung di leher dan hanya berseluar dalam ditemui dalam keadaan hampir reput dan dipercayai seorang daripada mangsa bot karam pada 1 Jun lalu.

“Kita membawa mayat berkenaan ke jeti Marina Tanjung Pengelih sebelum diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk siasatan lanjut,” katanya menerusi satu kenyataan di sini, semalam.

Beliau berkata, satu lagi mayat dijumpai penduduk kampung pada jam 8 pagi semalam, terdampar di pantai perairan Sungai Musuh, manakala pasukannya turut menemui tiga lagi mayat selepas itu.
“Walaupun operasi mencari dan menyelamat sudah ditamatkan, sebuah bot APMM akan sentiasa ditugaskan untuk melakukan rondaan setiap hari dan semua mayat lelaki dijumpai itu dipercayai mangsa dari bot pancung yang karam pada 1 Jun lalu,” katanya.
Berita Harian Online | 7 mayat mangsa karam ditemui

No comments: