Pages

Monday, June 6, 2011

Militan paling dikehendaki di Pakistan dipercayai mati akibat serangan Amerika

ISLAMABAD: Pihak berkuasa Pakistan hampir pasti satu serangan misil Amerika Syarikat baru-baru ini telah membunuh salah seorang daripada pemimpin Al-Qaeda yang paling dikehendaki. Namun, kurangnya bukti dalam bentuk mayatnya menimbulkan keraguan, kata seorang pegawai keselamatan semalam.

Serangan misil terhadap Ilyas Kashmiri dilakukan sebulan selepas tentera Amerika menyerbu kediaman ketua Al-Qaeda, Osama bin Laden, dan membunuhnya.Kematian Osama itu diikuti satu gelombang keganasan kumpulan militan di Pakistan, termasuk satu letupan bom awal semalam yang membunuh enam orang di barat laut negara itu.Para pegawai Amerika menyifatkan Kashmiri sebagai ketua operasi ketenteraan Al-Qaeda di Pakistan, dan dia berada dalam senarai lima militan yang paling dikehendaki di Pakistan.Anggota kumpulan militan yang berusia 47 tahun itu disyaki terbabit dalam serangan-serangan di Mumbai, India, pada 2008, serta turut didakwa membunuh ramai rakyat Pakistan.Dia juga menjadi suspek dalam membantu beberapa rancangan menyerang sasaran-sasaran Barat dan dinamakan sebagai defenden dalam kes mahkamah di Amerika berhubung rancangan menyerang akhbar Denmark yang menerbitkan karikatur Nabi Muhammad.Tidak jelas bagaimana Kashmiri dapat dijejaki. Namun, Pakistan dan Amerika baru-baru ini bersetuju menjadikannya sasaran bersama, di samping beberapa pemimpin militan lain.Ini sebagai sebahagian daripada langkah membaiki hubungan tegang kededua negara berikutan serangan tentera khas Amerika ke atas kediaman Osama di Pakistan pada 2 Mei lalu, kata para pegawai.Seorang pegawai keselamatan Pakistan semalam berkata laporan-laporan hujung minggu mengenai kematian Kashmiri adalah '95 peratus sah' kerana pihak berkuasa telah mengesahkannya dengan beberapa sumber.Pihak berkuasa tidak dijangkakan menemui mayatnya untuk mengesahkannya 100 peratus kerana pihak militan biasanya mengebumikan jenazah rakan-rakan mereka dengan segera.Bukti gambar atau sampel DNA mungkin membantu tetapi mengesahkan siapa yang mati dalam serangan udara itu umumnya agak sukar. Ini kerana laporan awal mengenai kematian Kashmiri pada September 2009 ternyata salah. -- AP.Cyberita Online Luar Negara

No comments: