BEBERAPA peristiwa yang berlaku sepanjang tiga bulan lalu membabitkan jenayah yang meragut nyawa membawa kepada pelbagai pihak mempertikaikan maksud pengganas. Ini kerana, walaupun jenayah yang dilakukan amat serius, namun ia tidak disifatkan sebagai sesuatu yang dilakukan oleh pengganas.
Fenomena tersebut mengundang kenyataan keras oleh Pengarah Majlis Perhubungan Islam-Amerika Syarikat (AS), Nihad Awab di Washington, baru-baru ini.
“Pendirian banyak pihak dan organisasi menjurus kepada kesimpulan bahawa tiada perlakuan boleh dilabel sebagai kegiatan pengganas melainkan ia dilakukan oleh orang Islam,” kata Nihad.
Berikut adalah beberapa peristiwa yang boleh dijadikan renungan dalam kita meneliti kebenaran kata-kata Nihad.
PERISTIWA 1
Pada 20 Januari lalu seorang komander Hamas dibunuh di hotel penginapannya di Dubai, Emiriyah Arab Bersatu (UAE) dan pihak polis negara tersebut menyatakan mereka mempunyai bukti mengaitkan agensi perisikan Israel, Mossad terlibat dalam pembunuhan tersebut.
UAE juga mendedahkan pasport yang digunakan oleh berpuluh orang yang terlibat dalam pembunuhan itu yang kebanyakannya menetap di Israel.
Pasport individu yang dikatakan tidak mempunyai kaitan dalam kes berkenaan disalahgunakan oleh ejen-ejen Mossad.
Negara-negara Eropah yang pasport warganya disalahgunakan melenting dengan tindakan itu dan ada antara mereka memanggil duta Israel untuk memberi penjelasan.
Nanum, tiada satupun yang melabel Mossad sebagai sebuah pertubuhan pengganas antarabangsa.
Hanya Britain bertindak mengusir duta Israel yang dikatakan ketua Mossad di negara tersebut. Itu pun berkemungkinan didorong faktor Britain adalah penyebab utama kesengsaraan rakyat Palestin yang tidak berkesudahan sejak berpuluh tahun lalu.
Bagaimana agaknya reaksi pemimpin Eropah jika seorang komander Israel dibunuh dengan cara yang sama? Mungkinkah pelbagai pertubuhan militan dan individu Islam akan terus dituduh sebagai pengganas yang melakukan perbuatan kejam itu?
Tanpa bukti-bukti kukuh pelbagai andaian akan dibuat yang kemudiannya akan diterima sebagai fakta bahawa jenayah tersebut dilakukan oleh pengganas Islam.
PERISTIWA 2
Pada 21 Februari lalu seorang juruterbang, Joseph Stack dengan sengaja melanggar bangunan yang menempatkan sebuah pejabat Perkhidmatan Hasil Dalam Negeri (IRS) di Austin, Texas, Amerika Syarikat (AS) dengan pesawatnya.
Tindakan kamikaze itu menyebabkan dua orang mati, 13 lagi cedera dan bangunan tujuh tingkat itu mengalami kemusnahan besar akibat terbakar walaupun pesawat terlibat hanyalah sebuah pesawat kecil.
Stack dikatakan bertindak demikian kerana marah dengan dasar percukaian AS. Tiada aspek lain yang diperkatakan menjadi punca tindakannya itu.
Dalam beberapa jam sahaja selepas kejadian tersebut yang telah menyebabkan ramai warga AS menyingkap semula serangan 11 September 2001, pihak berkuasa tempatan dan Persekutuan serta White House berkata, ia bukan tindakan pengganas.
Satu kenyataan panjang lebar yang dikeluarkan oleh Jabatan Keselamatan Dalam Negeri AS juga berkata, tidak ada sebab untuk mempercayai berlakunya aktiviti pengganas.
Bagaimana jika orang yang melakukan perbuatan tersebut bukan Stack sebalik seorang Islam pasti lain ceritanya.
Siasatan panjang lebar akan dibuat hinggalah sesuatu yang mungkin mengaitkannya dengan keganasan ditemui hatta walau sekadar melayari laman web mana-mana kumpulan militan.
PERISTIWA 3
Pada 4 Mac lalu pula, seorang lelaki, John Patrick Bedell yang lengkap bersenjata melepaskan tembakan yang mencederakan dua pagawai polis di pintu masuk bangunan Jabatan Pertahanan AS yang merupakan sebahagian daripada Pentagon.
Dalam serangan balas serta merta oleh pihak polis, Bedell ditembak di kepala dan mati sejurus kemudian.
Laporan media menyebut, sistem pengawasan video menunjukkan Bedell ada bertemu dan bercakap dengan seorang lelaki berhampiran pintu masuk berkenaan sebelum melepaskan tembakan.
Bagaimanapun, pada hari berikutnya, Ketua Agensi Pasukan Penjaga Pentagon, Richard Keevill menegaskan bahawa siasatan pihaknya mendapati Bedell tidak mempunyai sebarang kaitan dengan pengganas domestik atau antarabangsa.
Tembak Pentagon pun bukan pengganas? Sekali lagi, renungkan jika ia bukan dilakukan oleh Bedell tetapi seorang Islam. Tidak perlu diperkatakan apa-apa, berkemungkinan besar siasatan akan menjurus kepada kesimpulan bahawa penembak berkenaan merupakan pengganas yang sudah lama diburu.
Lelaki yang ditemuinya sejurus sebelum melepaskan tembakan akan turut disiasat hingga ke lubang cacing dan kita semua boleh menjangkakan hasil siasatan jika lelaki itu juga seorang Islam.
Akta Patriot AS mendefinisikan keganasan sebagai ‘perbuatan jenayah yang bertujuan memaksa atau mengancam orang awam untuk mempengaruhi dasar atau menjejaskan tindakan kerajaan melalui pembunuhan atau penculikan.’
Bukankah semua perbuatan di atas selaras dengan akta ini? Sesungguhnya satu deninisi tepat menggenai pengganas amat diperlukan kerana banyak pihak memutar belit pelbagai perkara demi kepentingan diri dan organisasi masing-masing.
Seperti yang dikatakan oleh Nihad, kebanyakan pihak berpendirian tiada perlakuan boleh dilabel sebagai kegiatan pengganas melainkan ia dilakukan oleh orang Islam.
Pihak-pihak yang sentiasa menuduh setiap perbuatan jenayah orang Islam sebagai kegiatan pengganas yang pasti dikaitkan dengan pertubuhan-pertubuhan yang mereka label sbagai kumpulan pengganas perlu berfikir semula tanggapan mereka.
Terdapat ramai orang Islam yang mengambil tindakan tertentu atas dasar tidak bepuas hati, membalas dendam dan sebagainya. Mereka bukan pengganas mahupun anggota mana-mana pertubuhan haram jika cara beberapa peristiwa di atas diambil kira dalam membuat kesimpulan siapa dikategorikan sebagai pengganas.
No comments:
Post a Comment