Pages

Monday, March 29, 2010

Tafsir Surah al-Maidah ayat 71: Kerana angkuh Yahudi tolak kerasulan Nabi



Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang   
Berbagai-bagai ujian dibuat termasuk apa yang pernah dilakukan oleh Abdullah bin Salam. Suatu ketika beliau menemui Rasulullah s.a.w. dan mengemukakan beberapa soalan yang hanya boleh dijawab oleh seorang rasul sahaja.
Semua soalan yang dikemukakan itu dijawab oleh Nabi s.a.w. dengan tepat. Serentak itu, Abdullah bin Salam terus beriman dengan baginda s.a.w. sambil menyaksikan bahawa tiada tuhan yang disembah melainkan Allah SWT serta Muhammad s.a.w. itu adalah pesuruh-Nya.
Seorang Yahudi pernah memberi hutang kepada Rasulullah s.a.w. Walaupun baginda menjadi pemimpin negara, baginda terpaksa berhutang wang dengan seorang Yahudi.
Harta bendanya digunakan untuk Islam, walaupun ada peruntukan negara yang diberi kepadanya daripada Baitulmal tetapi tidak mencukupi keperluannya.
Ini kerana banyak perkara yang dibuat sehingga terpaksa berhutang dengan seorang Yahudi.
Si Yahudi ahlil kitab mahu menguji Rasulullah s.a.w. ketika baginda s.a.w. mengerjakan solat jenazah seorang sahabatnya, lalu Yahudi yang memberi hutang kepada nabi s.a.w. datang meminta hutang.
"Hai, Muhammad! Hutang aku bila nak bayar?" soal Yahudi itu. Bukan itu sahaja, keturunan Nabi s.a.w dituduh tidak suka membayar hutang. Penghinaan yang dibuat oleh Yahudi itu, mendorong Sayidina Umar untuk memukulnya.
Namun dilarang oleh Nabi s.a.w. sambil menjelaskan bahawa memang baginda s.a.w. berhutang dengan Yahudi berkenaan.
Kemudian baginda s.a.w. memerintahkan supaya dibayar hutang itu sekali gus mendorong Yahudi itu memeluk Islam kerana itulah tanda kenabian dan kerasulan.
Iaitulah Nabi s.a.w. dapat menahan kemarahan dalam dirinya. Dan pelbagai cara ujian dibuat kepada Nabi s.a.w. untuk mempastikan apakah Muhammad itu benar-benar nabi atau sebaliknya.
Ertinya orang Yahudi mengetahui tanda kenabian yang ada pada Muhammad s.a.w. tetapi mereka itu buta (daripada melihat kebenaran) dan pekak (daripada mendengar nasihat al-Quran).
Walaupun mereka melihat sendiri tanda kenabian itu, mereka membuta mata mereka dan memekakkan telinga mereka seolah-olah mereka tidak pernah melihat buat selama-lamanya.
Firman Allah yang bermaksud, "Mereka itu buta dan pekak oleh kebanyakan daripada mereka." (Surah al-Maidah: 71)
Kebanyakan daripada mereka, buta dan pekak tidak mahu menerima kerasulan Muhammad. Mata mereka dapat melihat tetapi sengaja tidak mahu melihat kebenaran. Telinga mereka dapat mendengar tetapi seolah-olah tidak mendengar semuanya itu.
Sedikit sahaja mereka yang menerima kebenaran seperti Abdullah bin Salam dan beberapa orang yang lain. Mereka memeluk Islam apabila mengetahui kerasulan Muhammad s.a.w.
Firman Allah yang bermaksud, "Dan Allah itu Maha Melihat apa yang mereka itu lakukan." (Surah al-Maidah: 71)
Allah itu melihat dengan sejelas-jelasnya dan dengan pengetahuan apa yang mereka amalkan sama ada mereka berhak mendapat hidayah ataupun mereka berhak sesat.
Manusia yang ikhlas diberi hidayah oleh Allah SWT dan yang tidak ikhlas, bersifat munafik, Allah tidak memberi hidayah sehingga mereka terjerumus ke lembah kesesatan kerana dia mengetahui kebenaran tetapi sengaja tidak mahu mengikut kebenaran.
Antara lain mereka mengetahui syurga dan neraka, dosa dan pahala tetapi tetapi tidak memeluk Islam kerana sifat sombong dan takabbur bermaharajalela dalam diri.
Mereka mengikut perangai Iblis yang sombong dan takabbur sekali gus melanggar perintah Allah SWT. Inilah sifat golongan ahlil kitab di kalangan Yahudi.
Seterusnya Allah menyebut sifat golongan Kristian dengan firman-Nya yang bemaksud: "Sesungguhnya telah kafirlah, orang-orang yang berkata bahawa Allah itu al-Masih Ibnu Maryam." (Surah al-Maidah: 72)
Sesungguhnya kafirlah orang yang mendakwa (orang Kristian) bahawa Nabi Isa a.s. itu tuhan. Mereka menjadi kafir dengan mendakwa bahawa Nabi Isa a.s. adalah satu daripada tiga unsur tuhan. Kristian mendakwa bahawa tuhan itu satu tetapi ada tiga unsur tuhan termasuk unsur ayah, ibu dan anak. – lanh

No comments: