Pages

Monday, March 29, 2010

Tazkirah Jumaat:Taubat satu keperluan untuk menyucikan diri



Ustaz Zainudin Hashim   
Allah SWT menjelaskan menerusi ayat 7-8 surah as-Syams yang bermaksud : “Dan jiwa manusia serta kesempurnaan penciptaannya. Maka Allah mengilhamkan kepada jiwa itu jalan kefasiqan (kejahatan) dan taqwa (kebaikan).
Terdapat golongan Mufassirun (ahli-ahli tafsir) menjelaskan bahawa Allah SWT menjadikan hati manusia cenderung kepada kejahatan kemudian baru cenderung kepada kebaikan atau makruf, itupun jika ditakdirkan umurnya dipanjangkan oleh Allah SWT.
Syeikh Prof Dr Yusuf al-Qaradawi ada menegaskan, bahawa ramai di kalangan manusia tidak sedar terjebak dalam melakukan dosa dan maksiat, terutamanya yang dilakukan oleh pancaindera yang zahir (luaran) seperti dosa tangan, kaki, mata, telinga, lidah, hidung dan sebagainya termasuk dosa perut dan kemaluan.
Dosa tangan ialah dengan melakukan kecurian atau mengambil hak orang lain secara paksa, dosa kaki iaitu berjalan menuju tempat yang ditegah oleh agama seperti tempat pelacuran dan lain-lain, dosa mata melihat kepada yang diharamkan oleh Allah seperti melihat aurat orang lain, dosa telinga melaui pendengaran kepada perkara mengumpat dan lain-lain.
Begitu juga dengan dosa lidah dengan mengutuk orang lain atau memfitnah, dosa hidung dengan menghidu sesuatu yang diharamkan Allah, dosa perut memakan makanan yang diharamkan atau sumber riba dan dosa kemaluan dengan melakukan perbuatan zina.
Tetapi sebahagian besar daripada mereka lupa dan mungkin tidak mengetahui sedalam-dalamnya dosa serta maksiat yang dilakukan oleh hati, sedangkan dosa hati adalah lebih bahaya daripada dosa-dosa di atas.
Ini kerana hati seseorang itu boleh terjebak pada niat yang serong daripada agama, tidak ikhlas dalam melakukan sesuatu kebaikan dan yang lebih parah lagi terlibat pada syirik, riya’, bangga diri, cinta pada dunia, kufur (ingkar kepada hukum Allah), hasad dan banyak lagi.
Inilah yang membezakan antara dosa yang dilakukan oleh Nabi Adam a.s. dan Iblis, dosa Nabi Adama hanya melibatkan pancaindera kerana memakan dari pokok yang terlarang, sementara dosa Iblis lebih teruk daripada itu kerana melibatkan persoalan hati iaitu kufur kepada perintah Allah kerana enggan sujud kepada Adam lantaran sombong.
Walau apapun dosa atau maksiat yang dilakukan oleh seseorang muslim/muslimah, besar atau kecil, sengaja atau tidak, sedar atau sebaliknya, dia perlu memohon keampunan daripada Allah Yang Maha Pengampun terhadap dosa-dosa pancaindera dan hati dengan bertaubat kepada Allah, iaitu berazam untuk meninggalkan dosa-dosa yang pernah dilakukannya dan bersungguh-sungguh untuk tidak mahu mengulanginya pada masa-masa akan datang.
Perkara ini pernah ditegaskan oleh baginda Rasulullah s.a.w yang bermaksud : “Setiap anak Adam itu melakukan kesalahan, dan sebaik-baik kesalahan itu adalah bertaubat kepada Allah”.-Az

No comments: