Pages

Tuesday, January 3, 2012

Pemantau di Syria digesa berundur

Utusan Malaysia Online - Luar Negara:


DAMSYIK 2 Jan. - Sebuah badan penasihat Liga Arab, semalam menggesa pasukan pemantau pertubuhan tersebut diundurkan segera dari Syria kerana kehadiran mereka tidak membawa kesan bagi meredakan kempen kekerasan rejim Presiden Bashar al-Assad ke atas penunjuk perasaan.

Gesaan itu disuarakan ketika Liga Arab bersiap sedia untuk menghantar lebih ramai pemantau ke Syria, selepas penunjuk perasaan melangkah ke Tahun Baru dengan mengadakan demonstrasi dan seorang kanak-kanak dilaporkan menjadi mangsa pertama yang terbunuh pada 2012.

Speaker Parlimen Liga Arab, Salem al-Diqbassi menggesa ketua Liga Arab, Nabil al-Arabi 'segera mengundurkan pasukan pemantau Arab memandangkan rejim Syria terus membunuh penduduk awam'.

Parlimen Arab ialah sebuah jawatankuasa penasihat yang dianggotai oleh 88 ahli Parlimen daripada 22 negara anggota Liga Arab.

"Tindakan Damsyik jelas mencabul protokol Liga Arab yang bertujuan untuk melindungi rakyat Syria.

"Kita menyaksikan keganasan meningkat, lebih ramai penduduk termasuk kanak-kanak terbunuh...dan semua ini berlaku dengan kehadiran pemantau dari Liga Arab, sekali gus mencetuskan kemarahan penduduk Arab," kata Diqbassi.

Beliau mengeluarkan kenyataan itu ketika Liga Arab bersiap sedia untuk menghantar pasukan pemantau baru ke Syria pada Khamis ini. - AFP

"Kira-kira 20 lagi pemerhati, dari Arab Saudi, Bahrain dan Tunisia, akan dihantar ke Damsyik," kata ketua operasi Liga Arab di Syria, Adnan al-Khodeir.

Seramai 50 pemerhati tiba di Syria pada Isnin lepas di bawah perjanjian Liga Arab dengan Damsyik, yang menuntut tentera Syria berundur dari bandar-bandar dan kawasan kediaman, keganasan ke atas orang awam dihentikan dan tahanan dibebaskan.

Pemantau Liga Arab itu melawat beberapa kawasan 'panas', semalam, sementara kontroversi timbul selepas seorang pemantau menuduh pihak berkuasa Syria menempatkan pasukan penembak curi di atas bumbung bangunan dan menuntut mereka diundurkan. - AFP


'via Blog this'

No comments: