Pages

Monday, March 29, 2010

Kebejatan Zionis, menguji kemampuan Najib Altantuya



Ali Bukhari Amir   
Menurut catatan sejarah dan hasil renungan bacaan peribadi, ada tiga tahap dan peringkat di mana Bani Israel mula mencapai ketinggian dalam membina daulahnya. Pertamanya, era Talut, keduanya era Nabi Daud a.s dan ketiganya era Nabi Sulaiman a.s.
Pada tahap awal penerimaan Talut sebagai pemimpin, kalangan elit penguasa kapitalis mempersoalkan keupayaan Talut kerana sosok itu jauh lebih miskin. Dialog menghina kemiskinan Talut itu dirakamkan oleh Allah s.w.t dalam al-Quran. Tapi, dakwaan itu ditepis oleh seorang nabi dalam kalangan mereka.
Laluan Talut sebagai pemimpin Bani Israel sememangnya tidak mudah. Talut terpaksa melakukan satu saringan ke atas pasukan tenteranya untuk memilih siapakah yang paling ampuh kekuatan rohani untuk menewaskan angkatan tentera Jalut yang terkenal handal itu.
Ujiannya, cuma dengan sebatang sungai. Mereka hanya boleh minum air di situ dengan kadar tertentu. Nabi Daud a.s pada saat itu adalah salah seorang tentera Talut. Beliau lulus di dalam ujian itu. Dalam peperangan, Daud a.s telah berhasil menewaskan Jalut hanya dengan sebutir batu yang terkena kepada mata Jalut. Jalut rebah dan akhirnya nama Daud terus harum. Potensinya sebagai pemimpin baru Bani Israel mula menjadi sebutan ramai pihak.
Apabila Nabi Daud menjadi raja, beliau menjadi hakim yang sangat bijaksana. Namun, pada suatu hari, ada satu masalah yang tidak dapat beliau selesaikan. Salah seorang anak Daud yang bernama Sulaiman telah berhasil menemukan jawapan tersebut. Maka, nama Sulaiman mula harum dan dengan sebab itu, nama Sulaiman mula meniti daripada bibir ke bibir sebagai pengganti Daud.
Sulaiman a.s memiliki kerajaan yang amat besar dan luas. Tenteranya juga gagah berani. Seluruh alam ini tunduk patuh pada perintahnya sehingga jin dan angin pun turut membawanya ke mana-mana. Jadi, orang-orang Yahudi amat menghormati Nabi Sulaiman yang agung itu. Pada zaman ini, tiada raja dari kaum lain lagi yang boleh menewaskan Bani Israel.
Bahang penindasan oleh Jalut telah berlalu. Bani Israel benar-benar telah merdeka sepenuhnya. Perihal kekuatan Daud a.s digambarkan sebagai raja yang boleh melunakkan besi. Gospel serta Bible merakam beberapa siri peperangan tentera Daud ke atas tentera bangsa lain. Mereka menang dalam pertempuran.
Sulaiman a.s mungkin lebih gagah dan bijak dibandingkan Daud dan Talut, iaitu pemerintah Bani Israel sebelumnya. Hal ini dapat digambarkan melalui kata-kata Ratu Saba' sendiri mengenai Sulaiman a.s menerusi al-Qurán. Ketika pembesar bersepakat memutuskan untuk berperang dengan Sulaiman a.s itu, Ratu Saba' lebih rela memilih perdamaian. Beliau tahu, kekuatan Sulaiman dan bala tenteranya.
Akhirnya, Ratu Saba' 'tewas' di tangan Sulaiman a.s dengan kehebatan singgahsana raja Bani Israel itu. Singgahsana Ratu Saba' telah siap berada di istana Sulaiman kerana diangkat oleh seorang tentera yang alim dan gagah perkasa daripada seekor Jin Ifrit yang pernah menawarkan khidmatnya di dalam urusan pemindahan singgahsana Ratu' Saba itu.
Kewanitaan Ratu Saba' akhirnya rebah apabila beliau terpesona dengan keindahan lantai marmar dalam istana Sulaiman. Sang Ratu mengangkat kain kerana khuatir kainnya basah. Lalu dia ditegur Sulaiman, “Lantai itu kering, cuma ia kelihatan seperti air.”
Cuma kerana peristiwa itu saja, Ratu Saba' menyerah diri kepada Sulaiman dan beliau memeluk ajaran Tauhid. Kata bijak pandai, seseorang yang berjaya menewaskan musuhnya dengan kelembutan adalah jauh lebih hebat daripada mereka yang berjaya menumpaskan musuhnya dengan kekerasan.
Kata sahibul hikayat, ketika Salahuddin al-Ayyubi menewaskan Richard the Lion Heart kepala Knights Templar (Crusaders, Freemason) ada peristiwa menunjukkan aksi kekuatan di antara mereka. Richard menunjukkan aksi beliau memotong sebuah kayu tegar yang dibalingnya ke udara dengan cepat sekali.
Sebaliknya, Salahuddin hanyalah melambung sehelai kain sutera ke udara. Akhirnya, dia mengangkat pedangnya ke udara. Ketika kain itu jatuh mengenai padang Salahuddin, kain terbelah dua. Salahuddin tidak menggunakan ketangkasannya dalam menghancurkan sesuatu. Richard pun jadi terpegun.
Di sini, kekuatan Salahuddin dan kekuatan hikmah Sulaiman berhasil menewaskan musuhnya. Mereka ini berjalan di atas landasan Tauhid yang sama. Hebatnya Sulaiman a.s ini sehinggakan jin sangat takut kepadanya dalam urusan pembinaan sebuah bangunan Nabi Sulaiman. Menurut satu catatan. Bangunan itu adalah Haikal Sulaiman. Di dalam al-Qur'an disebutkan bahawa Nabi Sulaiman mati dalam keadaan berdiri ketika menunggu pembinaan bangunan itu selesai.
Tiada siapa pun dalam kalangan jin dan manusia yang tahu bilakah wafatnya Nabi Sulaiman a.s. Hanya diketahui kematiannya, apabila tongkatnya rapuh dimakan anai-anai yang menyebabkan beliau terjatuh. Pada waktu itu, menurut satu jalan riwayat, pembinaan bangunan tersebut telah pun selesai.
Para jin mengeluh kesal. Di dalam al-Quran disebutkan rasa kekesalan mereka itu. “Kalau kami ketahui bahawa Sulaiman telah mati, tidaklah kami berterusan berada di dalam kehinaan sebegini.” Jin syaitan suka diri mereka dipuja oleh manusia. Inilah sifat diri mereka. Mereka tidak sukakan penghinaan. Atas sebab inilah, sejak dari awal kejadian Adam a.s, Iblis enggan bersujud kepada manusia pertama.
Yahudi taksub dengan Nabi Sulaiman a.s
Orang-orang Yahudi terlalu taksub dengan Nabi Sulaiman. Di dalam kesusasteraan Inggeris ada sebuah buku berjudul The Kings Solomon Mines. Mereka seolah-olah yakin bahawa Nabi Sulaiman ada harta yang disembunyikan di sekitar bumi Palestin itu. Tapi, yang menjadi persoalan, jika Nabi Sulaiman a.s telah pun wafat sebelum bangunan tersebut siap dibina oleh masyarakat jin, pada masa bilakah nabi itu sempat menyimpan hartanya di dalam mana-mana bangunan dan tempat-tempat di sekitar bumi itu?
Ramai nabi telah berwasiat kepada anak-anak mereka mengenai ajaran Tauhid. Misalnya, Nabi Yaakub a.s telah mewasiatkan anak-anak mereka supaya mereka tidak mati, melainkan di dalam keadaan Islam. Antara nabi-nabi, rasanya Nabi Sulaiman adalah satu-satunya nabi yang wafat bukannya di perbaringan seperti mana adat raja yang gering. Nabi Muhammad sendiri mati mewasiatkan solat ke atas umatnya.
Boleh jadi, Nabi Sulaiman a.s tidak mewasiatkan hartanya kerana ketika Nabi Sulaiman sedang berdiri memerhatikan kerja para jin itu, baginda hanya memusatkan perhatiannya kepada pembinaan bangunan tersebut dan bukannya kepada harta peninggalannya. Mustahil seorang yang sedang merancang aktiviti pembangunan negerinya boleh terfikirkan darihal wasiatnya sebelum meninggal dunia.
[Atau, mungkin ada catatan lain yang boleh membatalkan pandangan dangkal ini hendaknya.]
Oleh itu, harta di dalam haikal itu justeru suatu pembohongan terbesar dalam sejarah Yahudi. Yang ada dalam catatan kahin-kahin dan rabbi-rabbi Yahudi itu, mungkin manipulasi ke atas ajaran Taurat yang telah dipalsukan oleh tangan-tangan mereka sendiri.
Al-Quran sendiri meriwayatkan bahawa, marhaen Yahudi tidak pandai membaca melainkan para kahin, rabbi, iaitu alim ulamak Yahudi itu sendiri. Maka, tiadalah berlaku aktiviti 'semak balas' antara intelek Yahudi dan rabbi kahin Yahudi, lantaran kepercayaan marhaen Yahudi ke atas rabbi dan kahin mereka cukup kuat pada saat itu. Pembohongan dan penipuan itu tentunya berjalan dalam tempoh yang lama.
Ketaksuban orang-orang Yahudi terhadap kehebatan Nabi Sulaiman a.s ini jelas terpancar dan terjelma dalam sikap dan amalan ritual mereka. Untuk memudahkan bualan dan bincangan, mari kita istilahkan hal ini sebagai 'sunnah Sulaiman'.
Kata sahibul hikayat dalam kalangan warga tua Pulau Pinang, pada zaman lalu, kematian orang Yahudi tidak diketahui oleh masyarakat Pulau Pinang sendiri. Jasad si Yahudi (Armenia) disemadikan di waktu malam bagi mengelakkan dikesan masyarakat setempat.
Jenazah Yahudi juga akan dibawa, mungkin dipapah dalam keadaan mayat itu berjalan hingga ke kubur Yahudi itu sendiri. Apabila tiba di perkuburan, jenazah itu ditanam pula dalam keadaan berdiri. Apakah tujuan pengkebumian seperti itu dilakukan?
Kalau kita melihat kisah filem mengenai Jesus Christ dimakamkan, mayat itu diletakkan dalam sebuah gua dan jenazah itu dibiarkan tidur dan bukan berdiri. Sekadar menurunkan teori, ada kemungkinan hal itu terkait dengan apa yang kita sebutkan sebagai 'sunnah Sulaiman'.
Oleh kerana, Nabi Sulaiman mati berdiri, maka ada kemungkinan upacara ritual itu diseragamkan oleh kalangan pemuka Yahudi juga. Mengapakah jenazah disemadikan pada waktu malam? Hal ini mungkin disamakan dengan kewafatan Sulaiman a.s yang tidak diketahui sesiapa pun melainkan Allah s.w.t.
Sebab itu terkenal di zaman dahulu di Tanjung (Pulau Pinang), Yahudi mati berdiri dan apabila Yahudi mati, sesiapa pun tidak mengetahui bilakah mereka mati. Wallahu álam. Sekian, kata sahibul hikayat.
Kembali semula bualan kita mengenai hal Sulaiman a.s dan hartanya yang tersimpan di haikal tersebut. Adapun andaian-andaian palsu ini tersebar luas melalui filem seperti National Treasure, dan menerusi novel-novel Inggeris juga. Kebanyakan peperangan, banyak dimulakan dengan andaian-andaian yang tidak pernah dibuktikan kesahihannya.
Misalnya, pencerobohan dan peperangan Iraq dimulakan dengan andaian bahawa, kononnya negara itu memiliki segudang senjata pemusnah dan segedung batalion pengganas. Dalam riwayat sejarah lalu ada andaian yang menyebutkan bahawa telah wujud kerajaan Kristian di Timur. (Jika tidak silap, nama raja itu ialah Prester John). Namun, nama dan kerajaannya terus kekal sebagai satu lagenda sehingga kini.
Ertinya, serangan-serangan itu selalunya bermula dengan tipu-daya dan asas yang tidak kuat serta tidak dapat dibuktikan secara ilmiah pula. Kini, serangan Yahudi itu bermula di Masjid al-Aqsa pula dengan satu terowong dan lubang yang digali di akhir-akhir 1960-an. Sebenarnya, hal ini pernah dilakukan ke atas jasad baginda Rasulullah s.a.w dahulu.
Yahudi menggali kubur Rasulullah s.a.w
Kita tentu pernah terbaca mengenai dua lelaki Yahudi yang 'alim' dan bermastautin di Madinah. Tidak ramai yang tahu bahawa mereka sebenarnya mengorek satu laluan terowong menuju ke kubur baginda Rasulullah s.a.w. Diringkaskan cerita, percubaan itu telah berjaya dipatahkan oleh seorang sultan yang sering bermimpi bertemu Rasulullah s.a.w yang memberi amaran mengenai hal itu.
Menurut catatan, sultan tersebut telah bermimpi berulang-kali tetapi baginda tidak mengendahkannya. Pada kali ketiga, menurut catatan, Rasulullah s.a.w hadir di dalam mimpi sultan tersebut dalam keadaan marah kerana sultan tidak mengendahkan amaran baginda.
Diringkaskan cerita, ketika siasatan dibuat maka kegiatan kedua-dua orang lelaki Yahudi tersebut telah berjaya dipatahkan. Hal ini semua amat bergantung kepada kekuatan penguasa dalam urusan agama ini. Kesimpulan daripada kisah penggalian kubur Rasulullah s.a.w dan usaha penggalian terowong bawah tanah di Masjid Nabawi dahulu, hal yang sama juga ingin dilakukan oleh Zionis pada zaman kita ini.
Moral yang kedua daripada kisah penggalian kubur Rasulullah itu ialah, hal ini hanyalah dapat disekat jika adanya kemahuan dan sokongan yang kuat daripada pemerintah dan penguasa, sepertimana amaran Rasulullah s.a.w terhadap seorang sultan melalui mimpi sultan tersebut. Sudah tentulah dalam keadaan sekarang, kesungguhan pemerintah dalam usaha mematahkan serangan, rencana dan tipu daya Yahudi Zionis sangat-sangat diperlukan.
Najib Altantuya dilingkari politik dalaman
Dari awal bualan, saya banyak membangkitkan kisah nabi dan susur galur peristiwa sejak zaman purba Yahudi sehinggalah ke hari ini. Kenapa? Ini kerana, kita (khususnya anak-anak muda) banyak berjuang menggunakan sentimen, naluri emosi tanpa merujuk akar sejarah Yahudi.
Memerangi musuh memerlukan kefahaman yang utuh dan jelas tentang musuh kita. Apakah kekuatan mereka? Sudah tentulah tulisan ini bukan rujukan yang baik untuk dibaca oleh mahasiswa Muslim yang berdemonstrasi di depan Kedutaan Amerika Jumaat lalu. Tetapi, setidak-tidaknya saya berharap ia akan membuka ruang kepada suatu perdebatan yang boleh membuahkan pandangan-pandangan lain pula.
Akhirnya, jari saya terpaksa menuding kepada Najib kerana beliau adalah Menteri Pertahanan dan kita adalah Pengerusi OIC. Kita dilingkari pelbagai dilema apabila cuba membangkitkan isu Palestin di peringkat antarabangsa. Antaranya, Najib sebagai Menteri Pertahanan hanya lebih berminat dan berani menangkap remaja PLKN yang ingkar, tapi takut berdepan dengan Zionis. Najib juga mungkin sedang sibuk memikirkan permasalahan dengan kes Altantuya.
Apabila Najib terleka dengan isu-isu yang remeh, seperti hal menaikkan patriotisme dalam jiwa remaja kononnya, beliau terlepas pandang soal pembebasan Palestin dan beliau tentu kurang mengambil peduli hal penggalian terowong di sekitar Masjid al-Aqsa. Kini, Najib terpaksa bergelut dengan kes Altantuya.
Kalau hanya rakyat bawahan yang sedar, tapi pemimpin sendiri yang kurang bersedia, umat akan terus menderita. Masalah kelemahan kaum Muslimin bukan kerana kedaifan rakyat bawahan dalam kalangan umat Islam, tetapi ia berpunca daripada kelemahan pemimpin umat Islam itu sendiri secara khususnya.
Malaysia sebagai Pengerusi OIC. Lalu, secara ideal, Kementerian Pertahanan kita tentu dilihat sebagai nukleus yang memacu ke arah mengembalikan kesetiakawanan antara tentera-tentera Islam sejagat.
Saranan kita kepada Najib. Jika boleh, untuk permulaan, Malaysia melalui Kementerian Pertahanannya boleh menyusun aktiviti seperti mempelbagaikan kegiatan pasukan tenteranya. Mungkinlah Najib dapat mewujudkan sukan antara tentera-tentera Islam dari seluruh dunia Islam.
Adapun motif bersukan tersebut bukanlah hanya bersuka-sukaan saja seperti mencipta nama. Tapi, adalah mengeratkan silaturrahim antara mereka. Apabila tentera-tentera Islam seluruh dunia ini selalu bertemu dalam padang bola dan makan bersama, bolehlah mereka selalu berbincang-bincang mengenai masa depan dan hala tuju jihad perjuangan mereka untuk membebaskan bumi Palestin dan mana negara yang masih dalam cengkaman penjajahan.
Guna semula kaedah yang selalu kita gunakan ke atas remaja dan anak muda kita seperti menyibukkan mereka dengan pelbagai aktiviti. Kita selalu berteori begini, “Jika remaja itu disibukkan dengan aktiviti Rakan Muda, PLKN, Mat dan Minah Rempit disibukkan dengan program Putera Umno maka dengan sendirinya, mereka ini tidak terjebak dengan kegiatan yang tidak berfaedah.”
Dengan cara ini, anak muda itu tidak terjebak dengan dadah di disko. Mereka juga tak terjebak dengan aktiviti pecah rumah, kerana terpengaruh dengan pengaruh luar seperti ajakan rakan sebaya. Pandangan ini memang masuk akal. Jadi, saya sokong 300% kaedah menyibukkan remaja ini daripada suatu sudut.
Najib, pada hemat saya, boleh menggunakan kaedah 'menyibukkan tentera' kita dengan program seperti ini juga. Apabila tentera kita digalakkan bersukan, berenang kuak lentang, futsal, aktiviti memanah di peringkat OIC bersama tentera-tentera Islam yang lain, maka fokus mereka lebih terarah dan tersusun. Polis-polis juga boleh kita libatkan di dalam aktiviti sukan berprestij di peringkat dunia ini.
Ini bukan soal Malaysia menang atau kalah di dalam pertandingan. Ia bukan soal Malaysia berjaya atau tidak dalam usaha merangkul pingat emas, perak atau gangsa dalam sukan tersebut. Kita wujudkan hal seperti ini adalah untuk mengelakkan tentera kita daripada dipengaruhi pengaruh luar dalam kalangan pemimpin politik. Pengaruh luar pemimpin politik telah banyak mengundang kesan negatif.
Kesan inilah yang menyebabkan tentera kita terjebak dalam kegiatan yang tidak berfaedah. Kor Agama Tentera (Kagat) yang ditubuhkan menjadi sia-sia sahaja kerana ahli politik memberikan kesan buruk ke atas kelumpuhan akhlak tentera. Tentulah kita ingat siapa yang mengupah tentera untuk menyembur air kimia yang mengakibatkan kecederaan gatal-gatal ke atas bekas Perdana Menteri yang kita kasihi, Tun Dr Mahathir. Bukankah insiden itu merupakan kesan negatif ekoran pergaulan rapat tentera dengan ahli politik? Janganlah mereka marah. Ini sekadar teori lemah dan boleh dibatalkan dengan ISA kalau perlu.
Dan saya rasa, (pandangan ini boleh dibatalkan dengan akta drakonian juga kalau perlu) kalaulah pihak polis, cawangan khas serta UTK disibukkan dengan acara sukan ini juga, maka mereka kurang terjebak dengan pengaruh rakan sebaya (baca: ahli politik) yang mengupah mereka bagi 'meletnuh' (meletupkan dan membunuh) wanita Mongolia bernama Altantuya. Anda fikir bagaimana?

No comments: