Pages

Thursday, July 26, 2012

Ramadhan Sebagai Stesen Iman



Allah menyediakan untuk kita pelbagai stesen untuk menyuburkan iman. Stesen-stesen tersebut ada yang bersifat harian, mingguan, bulanan, tahunan, bahkan sekali seumur hidup. Stesen-stesen tersebut menjadi booster dalam meningkatkan iman dan taqwa, mendorong kita untuk sentiasa hidup dalam landasan agama. Pun begitu, jiwa kita begitu tertarik kepada dunia sehinggakan kewujudan stesen-stesen tersebut tetap tidak menjadikan kita hamba yang sentiasa patuh dan basah dalam zikrullah. Boleh jadi kerana kita lebih tertarik dan asyik dengan stesen-stesen yang disediakan syaitan untuk meruntuhkan iman, sehingga stesen-stesen yang Allah sediakan kita abaikan.

Allah mensyari’atkan Ibadah Haji yang cukup ditunaikan sekali seumur hidup bagi yang mampu. Ada pula Ibadah zakat fitrah yang bersifat tahunan. Solat Jumaat mingguan, Solat 5 waktu yang ditentukan waktunya setiap hari juga adalah stesen yang sangat penting. Selain Ibadah wajib, ada sekian banyak lagi ibadah sunat yang boleh dilakukan sepanjang masa (puasa sunat, sedekah, solat sunat, membaca Al-Quran, berzikir, dan lain-lain). Sememangnya stesen refreshment iman sangat banyak dan berkala. Kita yang selalu melaluinya tanpa sedar dan peduli.

“Dan ingatkanlah mereka dengan hari-hari Allah…” (Ibrahim: 5)
Antara semua stesen yang tersedia untuk kita, Ramadhan adalah antara yang paling penting dengan ganjaran yang sangat mengiurkan daripada Allah. Ia adalah platform tahunan yang paling berpengaruh dalam mendidik jiwa. Ibarat sebuah kursus pelatihan dengan jadual yang padat. Untuk merasai keberadaan dan kepentingannya, marilah kira sama-sama menyemak ayat Al-Quran dan hadith nabi yang khusus tentang Ramadhan:

“Bulan Ramadhan, bulan yang didalamnya diturunkan Al-Qur’an sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeda (antara yang haq dengan yang bathil ), karena itu barangsiapa diantara kamu menyaksikan (masuknya bulan ini ), maka hendaklah ia puasa… ” ( Al-Baqarah: 185)
Rasulullah SAW bersabda:

“Barangsiapa puasa Ramadhan karena beriman dan ikhlas, maka diampuni dosanya yang telah lalu dan yang sekarang” ( HR Bukhari dan Muslim)
Diriwayatkan dari Abu Hurairah RA: Bahawa sesungguhnya Rasulullah SAW pernah bersabda: Ketika datang bulan Ramadhan:

“Sungguh telah datang kepadamu bulan yang penuh berkat, diwajibkan atas kamu untuk puasa, dalam bulan ini pintu Jannah dibuka, pintu Neraka ditutup, Syaitan- Syaitan dibelenggu. Dalam bulan ini ada suatu malam yang nilanya sama dengan seribu bulan, maka barangsiapa diharamkan kebaikannya (tidak beramal baik di dalamnya), sungguh telah diharamkan (tidak mendapat kebaikan di bulan lain seperti di bulan ini).” ( HR Ahmad, Nasai dan Baihaqi)

Begitulah istimewanya Ramadhan, dan begitu ruginya orang yang mengabaikan kehadirannya. Sepanjang kita hidup, berapa kali ia telah berlalu? Adakah ia berlalu tanpa kita merebut sesuatu? Atau adakah kita cukup berpuas hati dengan cara kita melaluinya pada tahun-tahun yang sudah? Boleh jadi kita salah seorang yang sangat rugi dalam melaluinya sebelum ini. Mari kita menghayati sebuah hadith nabi SAW:

Dari Ka’ab Bin ‘Ujrah RA katanya: Rasulullah SAW bersabda:
“Berhimpunlah kamu sekalian dekat dengan mimbar”. Maka kamipun berhimpun. Lalu beliau menaiki anak tangga mimbar, beliau berkata: Amin. Ketika naik ke anak tangga kedua, beliau berkata lagi: Amin. Dan ketika menaiki anak tangga ketiga, beliau berkata lagi: Amin. Dan ketika beliau turun (dari mimbar) kamipun bertanya: Ya Rasulullah, kami telah mendengar sesuatu dari tuan pada hari ini yang kami belum pernah mendengarnya sebelum ini. Lalu baginda menjawab:
“Sesungguhnya Jibrail AS telah membisikkan (doa) kepadaku, katanya: Celakalah orang yang mendapati bulan Ramadhan tetapi dosanya tidak juga diampuni. Lalu aku pun mengaminkan doa tersebut. Ketika aku naik ke anak tangga kedua, dia berkata lagi: Celakalah orang yang (apabila) disebut namamu di sisinya tetapi dia tidak menyambutnya dengan salawat ke atasmu. Lalu aku pun mengaminkannya. Dan ketika aku naik ke anak tangga yang ketiga, dia berkata lagi: Celakalah orang yang mendapati ibubapanya yang sudah tua atau salah seorang daripadanya, namun mereka tidak memasukkan dia ke dalam surga. Lalu aku pun mengaminkannya. (HR Al-Hakim dan Sanadnya Sahih)

Cukuplah dengan kelesuan yang kita pamerkan sebelum ini. Amal kita masih terlalu sedikit untuk kita membiarkan Ramadhan berlalu tanpa kita merebut ganjaran yang dijanjikan. Dosa kita masih terlalu banyak untuk kita tidak berusaha meraih keampunan Allah yang tersedia luas di bulan ini. Stesen ini terlalu penting untuk kita yang dirangkul dosa saban hari, dipeluk nafsu yang tak pernah puas. Marilah kita keluar daripada menjadi golongan celaka yang disebutkan nabi SAW.

Masa akan terus berlalu tak menunggu kita bersedia. Ramadhan akan datang dan pergi tak mengira kita untung atau rugi. Adakah kita terlalu yakin bahawa hidup kita masih panjang untuk bertemu stesen ini pada tahun yang akan datang, sehingga kita membiarkan ia berlalu sepi?

Sekadar mengetahui kehebatan dan keistimewaan stesen Ramadhan ini tidak cukup. Boleh dikatakan semua orang tahu tentang adanya Lailatul Qadr dengan begitu besar nilainya. Begitu juga dengan Solat Tarawikh yang khusus pada bulan ini. Kita perlu bersungguh-sungguh beramal sebagai bukti, memfokuskan akal dan perasaan hati.

Hargailah kehadirannya. Moga kehadirannya membantu kita menempa hati yang lebih khusyuk, meningkatkan amal yang lebih terasa, meninggalkan dosa yang merantai jiwa, menjadi hamba yang sentiasa rindu akan syurga dan bersungguh-sungguh meraih redha Allah.

Wallahua’lam
 —

No comments: