Pages

Thursday, July 26, 2012

MEREBUT PAHALA



UMAT Islam digalakkan melakukan sebanyak mungkin amalan sunat sepanjang Ramadan untuk mengharapkan ganjaran pahala dan keredaan Allah. Amalan sunat atau disebutkan juga sebagai an-nadbu itu walaupun tidak sampai ke tahap wajib, namun kelebihan mengerjakannya amat besar.

Diriwayatkan bahawa Rasulullah saw bersifat lebih pemurah dan dermawan sewaktu Ramadan. Dalam hal ini, Baginda bersabda yang bermaksud : “Sedekah yang paling afdhal (baik) adalah sedekah yang dikeluarkan dalam bulan Ramadan.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).
Bersedekah yang dituntut adalah kepada golongan miskin, anak yatim dan orang tidak berupaya.

Kelebihan bersedekah juga diterangkan dalam al-Quran melalui firman Allah yang bermaksud: “Bandingan (pahala) orang yang membelanjakan harta mereka pada jalan Allah adalah seperti sebiji benih yang menumbuhkan tujuh tangkai dan pada setiap tangkai pula ada 100 biji. Allah melipatgandakan ganjaran sesiapa yang Dia kehendaki. Dan Allah Maha Luas (kurnia-Nya) lagi Maha Mengetahui.” (Surah al-Baqarah, ayat 261).
Ibadat sedekah juga disebut ibadat yang sentiasa mengurniakan ganjaran pahala walaupun selepas meninggal dunia.

Rasulullah bersabda yang bermaksud : “Apabila mati seorang anak Adam, maka terputus amalannya kecuali tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmu dimanfaatkan oleh orang lain dan anak soleh yang mendoakan untuknya.” – (Hadis riwayat Muslim).
Ulama, As-Samarqandi dalam Tanbihul Ghafilin menjelaskan beberapa kelebihan diberikan kepada orang yang bersedekah.
Kelebihan itu dikelaskan kepada dua iaitu kelebihan dunia dan akhirat.
As-Samarqaridi menjelaskan bahawa kelebihan di dunia adalah membersih harta dan menyucikan diri, menolak bala serta penyakit, menyenangkan hati orang miskin dan menjadikan harta berkat.
Sementara kelebihan di akhirat adalah menjadi naungan bagi yang bersedekah iaitu meringankan hisab, memberatkan timbangan amal kebajikan, memudahkan seseorang menyeberangi Titian Sirat al-Mustaqim serta meningkatkan kedudukan di syurga.
 

No comments: