Pages

Thursday, July 26, 2012

'Rakyat Syria perlu bersatu'

'Rakyat Syria perlu bersatu'
Tlass (kanan) pernah menjadi teman rapat Assad sebelum beliau berpaling tadah pada awal bulan lalu.
JEDDAH - Jeneral Manaf Tlass, yang telah berpaling tadah daripada rejim Presiden Bashar al-Assad, kelmarin menggesa Syria untuk bersatu dan mula membina negara yang bebas daripada cengkaman rejim Assad.

Anak kepada bekas Menteri Pertahanan itu mengeluarkan kenyataan tersebut menerusi rakaman video yang disiarkan oleh stesen televisyen Al-Arabiya di Arab Saudi selepas menghilangkan diri sejak 6 Julai lalu.

Beberapa pihak mendakwa kehilangan Tlass mungkin ada kaitan dengan kebangkitan anti-Assad yang semakin meningkat sejak minggu lalu sehingga mencetuskan pertempuran sengit antara kumpulan pemberontak dengan tentera kerajaan.

Tlass turut menegaskan Syria yang baru tidak sepatutnya dibentuk berlandaskan dendam, pengecualian atau dimonopoli oleh sesetengah pihak.

Bekas teman rapat Assad itu turut menyuarakan kekesalan beliau terhadap penderitaan rakyat Syria akibat kekejaman rejim Assad yang berterusan membunuh insan tidak berdosa, sejak pergolakan di negara tersebut bermula kira-kira 17 bulan lalu.

"Saya mengutuk sekeras-kerasnya tindakan kekerasan didalangi tentera Assad selama ini.

Tugas utama seluruh rakyat pada masa ini adalah untuk bersatu bagi membentuk sebuah negara baru bercorak demokrasi," katanya lagi.

No comments: