Pages

Thursday, July 26, 2012

Hukum Bersugi (Berus Gigi) Ketika Puasa



Hukum bersugi atau berus gigi ketika puasa adalah harus dan ini berdasarkan kepada hadis dari Abu Hurairah ra yang bermaksud :

“Seandainya aku tidak memberatkan umatku, nescaya aku perintahkan mereka bersiwak pada setiap kali wudhuk” (Riwayat Imam Malik, Ahmad, Nasai)

Rumusan yang dapat diambil dari hadis di atas ini ialah tiada penegahan bersugi atau bersiwak di waktu puasa Bulan Ramadhan. Maka tidak haram bagi sesiapa yang ingin membersihkan gigi mereka pada waktu berpuasa. Makruh bagi sesiapa yang bersugi untuk menghilangkan bau mulut mereka yang berpuasa, ini berdasarkan kepada hadis yang bermaksud :

“Sesungguhnya bauan mulut orang yang berpuasa itu pada hari kiamat adalah lebih baik di sisi Allah daripada bauan haruman kasturi".

Orang yang bersugi ketika waktu zohor (tengahari) ke atas, boleh membuatkan puasa mereka menjadi makruh kerana dapat menghilangkan bau mulut dari hasil puasa mereka. Begitu juga orang yang berlebihan dalam bersugi. Pendapat ini adalah dari ulamak Syafie.


Ada setengah orang bersugi hingga muntah-muntah, hal seperti ini boleh membatalkan puasa kerana mereka sengaja menyebabkan muntah. Hendaklah berhati-hati dalam bersugi jangan disebabkan untuk membersihkan gigi atau amalan sunat dapat membatalkan amalan yang telah diwajibkan oleh Allah seperti puasa Bulan Ramadhan.

Sheikh Muhammad Ibn Saleh al-Uthaimin mengatakan bahawa menggunakan ubat gigi ketika berpuasa di Ramadhan dan selainnya tidaklah mengapa baginya selagi tidak ia masuk dalam perut. Tetapi lebih baik ditinggalkan dari melakukannya kerana atasnya itu mengandung pengaruh yang kuat untuk menembusi perut sedangkan insan itu tidak menyedarinya. Kerana itu, Rasulullah saw bersabda kepada Qait bin Sabrah :
"Berlebihanlah dalam berkumur melainkan engkau berpuasa."
Maka, lebih aula tidak menggunakan ubat gigi ketika mengerjakan puasa dan ada banyak masa. Jadi apabila diakhirkannya hingga sampai waktu berbuka puasa, maka dia memelihara puasanya dari apa sesuatu yan merosakkannya.

Sheikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi mengatakan bahawa adapun mengenai ubat gigi, maka perlulah dia menjaga dari berlebihan supaya tidak dia masuk sesuatupun darinya ke dalam perut dan inilah pendapat yg dikeluarkan oleh kebanyakan ulamak. Maka aula dijauhkan muslim dari melakukannya dan dia mengakhirkan kepada selepas berbuka puasa. Akan tetapi, apabila melakukannya hendaklah dia berhati-hati padanya. Tetapi jika dia berhati-hati dan termasuk juga sesuatu ke dalam perutnya, maka ia dimaafkan. Allah swt berfirman :
"Dan tidak ada dosa atasmu terhadap apa yang kamu khilaf padanya, tetapi (yang ada dosanya) apa yang disengaja oleh hatimu. Dan adalah Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang."
Dan Nabi saw bersabda : "Diangkat dari umatku kesilapan, kelupaan dan apa sahaja yang dipaksakan atasnya."

Kesimpulan yang dapat diambil dari dua pendapat ini ialah lebih baik jangan kita gunakan ubat gigi sebab ditakuti boleh membatalkan puasa dengan cara kita tertelan sedikit ubat gigi atau air yang digunakan untuk berkumur. Selain dari itu juga, ubat gigi juga boleh menghilangkan bau-bauan mulut orang yang berpuasa. Lebih eloklah menggunakan ubat gigi apabila waktu sesudah berbuka puasa.

Menurut pendapat Imam An-Nawawi mengatakan bahawa dibolehkan seseorang itu berkumur tidak melebihi tiga kali dan selebihnya boleh membatalkan puasanya jika ia tertelan. Persoalannya boleh kita menahan dari tidak tertelan air tersebut, sebab air itu sudah bercampur dengan air liur. Maka lebih baik kita elakkan dari membuatkan puasa kita terbatal disebabkan kelakuan kita sendiri.

Sumber : ustaznoramin.com
 

No comments: