DAMSYIK: Wakil antarabangsa, Kofi Annan, mengakui misinya mencari damai di Syria gagal ketika lebih 60 orang terbunuh dalam keganasan yang turut merebak ke Lubnan, semalam.
Dalam komen disiar akhbar Perancis Le Monde, Annan berkata, usaha secukupnya dilakukan bagi menyelesaikan krisis di situ secara aman dan melalui kaedah politik.
Bagaimanapun, katanya, pelan itu tidak berjaya.
“Mungkin tiada jaminan pun ia akan berjaya,” katanya. Pelan dicadang Annan, termasuk mengutamakan penamatan keganasan semua pihak, hanya memberi sedikit kesan dan aktivis berkata, lebih 17,000 orang terbunuh sejak Damsyik berhadapan kebangkitan rakyatnya Mac tahun lalu. Kelmarin, Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Ban Ki-moon, menggesa misi pemantau badan dunia itu di Syria mengalih fokus kepada usaha menamatkan pertumpahan darah.
Annan berkata, sekutu rapat Syria - Russia - memainkan peranan penting memulihkan keadaan di negara itu, manakala Iran pula wajar dibabitkan dalam setiap rundingan. “Iran mempunyai peranan untuk dimainkan dalam usaha menamatkan krisis walaupun ia tidak dipersetujui AS,” katanya. Sementara itu, tentera kerajaan mengebom bandar di wilayah Aleppo di utara Syria dan sekurang-kurangnya 60 orang maut di seluruh negara itu.
Pertubuhan pemantau hak asasi berpangkalan di Britain mendakwa, tentera rejim Presiden Bashar al-Assad cuba menguasai semula wilayah Aleppo selepas mereka teruk dikalahkan di situ beberapa bulan lalu. “Banyak keluarga hilang tempat tinggal dan kawasan itu kekurangan bekalan air bersih, elektrik dan kemudahan perubatan,” katanya. - AFP
'via Blog this'
No comments:
Post a Comment