Pages

Sunday, May 27, 2012

Bunuh Osama, AS dikutuk


WASHINGTON 24 Mei - Amnesty International semalam mengutuk Amerika Syarikat (AS) atas tindakannya yang menyebabkan kematian, terutamanya pembunuhan Osama bin Laden oleh pasukan elit AS di Pakistan pada Mei lalu yang disifatkan sebagai menyalahi undang-undang.
Menurut laporan tahunan kumpulan hak asasi manusia itu, operasi tersebut jelas menunjukkan ia dibuat berdasarkan teori konflik bersenjata global antara AS dengan al-Qaeda dan bertentangan dengan undang-undang hak kemanusiaan antarabangsa.
"Kegagalan pihak berkuasa AS membuat penjelasan lanjut mengenai pembunuhan bekas pemimpin al-Qaeda itu menyebabkan tindakan tersebut menyalahi undang-undang," menurut laporan terbabit.
Amnesty berkata, satu tuntutan penjelasan berhubung serangan drone AS di Yemen pada September lalu yang mengorbankan ulama radikal kelahiran AS, Anwar al-Awlaqi; seorang lagi anggota al-Qaeda Samir Khan; dan dua yang lain turut tidak dijawab oleh Washington.
"Pembunuhan itu jelas merupakan tindakan di luar bidang kehakiman," kata pertubuhan pemantau hak asasi manusia global itu.
Amnesty turut mengecam pelanggaran hak asasi manusia yang dilakukan oleh pentadbiran bekas Presiden George W. Bush.
Kanada juga dikecam kerana gagal menahan Bush ketika beliau melawat negara itu pada Oktober lalu, meskipun terdapat bukti jelas bekas Presiden itu bertanggungjawab ke atas jenayah di bawah undang-undang antarabangsa, termasuk penderaan.
Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pula dikecam kerana gagal bertindak terhadap peningkatan tunjuk perasaan di seluruh dunia dan 'usul-usul badan dunia itu yang tidak bersesuaian'.
Amnesty menggesa satu perjanjian tegas ditandatangani berhubung perdagangan senjata global pada sidang PBB Julai ini.
Pertubuhan tersebut turut menggariskan kegagalan Majlis Keselamatan itu menamatkan pertumpahan darah di Syria dan menyatakan bantahan berulang kali oleh Rusia dan China menyebabkan badan dunia itu dilihat 'tidak diperlukan sebagai badan keamanan global'. - AFP

No comments: