Pages

Sunday, March 18, 2012

Pelajar maut kena bom di Pattani


Seorang pelajar yang cedera tiba di sebuah hospital di Yarang selepas satu letupan bom mengorbankan seorang pelajar perempuan dan mencederakan empat yang lain di wilayah Pattani, selatan Thailand, semalam. - AFP 


BANGKOK 17 Mac – Seorang pelajar perempuan terbunuh dan empat lagi cedera dengan dua daripadanya parah, dalam satu letupan bom di tepi jalan di wilayah Pattani, selatan Thailand, hari ini.
Kelima-lima pelajar sekolah menengah itu dalam perjalanan pulang ke rumah dari sekolah menaiki motosikal apabila bom buatan sendiri yang ditanam di tepi jalan itu meletup tiba-tiba.
Insiden berlaku di jalan Basaair-Nagate, Ban Totuwor, daerah Yarang, Pattani.
Hapueso Sadeh, 18, yang merupakan pelajar Sekolah Prasanwitthaya Mullanithi maut di tempat kejadian.
Ketua balai polis Yarang, Kolonel Polis Tuande Chutanant berkata, mangsa terkena serpihan bom di bahagian kepala, muka dan badan.
Mangsa yang cedera, kesemuanya dari sekolah sama ialah adik bongsu kepada pelajar yang maut, Mariyae Sadeh, Mariyae Dueramae, Maseeto Salaema dan Aresoh Salaema.
Semua mereka yang berumur 16 tahun dihantar ke hospital Yarang.
Saksi memberitahu polis, bom disasarkan ke arah anggota tentera yang menaiki bas di hadapan rombongan pelajar itu, tetapi ia meletup ketika pelajar terlibat melalui jalan tersebut.
Polis menuduh pejuang pemisah yang mahu mencetuskan keganasan di wilayah bergolak ini tanpa mengira mangsa di atas insiden letupan itu.
Kejadian letupan itu berlaku selepas pembunuhan seorang penoreh getah awal hari ini dalam satu serangan hendap di daerah Raman, Yala.
Yuso Daraning, 46, yang memandu motosikal ke kebun getahnya di Ban Buekunae Kuji ditembak oleh seorang lelaki yang bersembunyi di sebalik pokok, menurut Kapten Sithiphan Suwanno di balai polis Jakua. – AGENSI

'via Blog this'

No comments: