Pages

Monday, January 19, 2015

Kapten Dalam Pasukan Tentera British Tukar Jantina

Diterbitkan: Isnin, 19 Januari 2015 12:50 PM

Kapten Hannah Winterbourne

> Hannah Winterbourne membuat keputusan menukar jantina selepas pulang dari Afghanistan
> Kapten berusia 27 tahun itu dilahirkan sebagai seorang lelaki normal
> Dia kini mencipta nama sebagai pegawai transgender yang pertama dalam sejarah tentera British
LONDON: Selepas pulang dari perkhidmatannya di Afghanistan, seorang kapten dalam pasukan tentera British telah membuat pengisytiharan terbuka yang dia adalah bekas seorang lelaki yang kini telah bertukar jantina kepada wanita.
Kini dikenali sebagai Kapten Hannah Winterbourne, pegawai itu mencatat sejarah sebagai transgender yang pertama dalam perkhidmatan tentera British.
Wajah Winterbourne selepas menjalani pembedahan pertukaran jantina.
Dia bagaimanapun enggan mendedahkan nama lelakinya dahulu atas alasan ia adalah sejarah silam yang tidak perlu dikenang lagi.
Sebagai kapten dalam Kor Kejuruteraan Mekanikal dan Elektrikal, Hannah juga adalah transgender dengan pangkat paling tinggi dan satu-satunya sebagai pegawai bertauliah.
Berusia 27 tahun, Hannah dilahirkan sebagai lelaki normal dan menghabiskan beberapa tahun perkhidmatan awalnya dalam tentera sebagai pegawai lelaki.
Dia membuat keputusan untuk menjalani pembedahaan jantina sebaik sahaja pulang dari Kem Bastion iaitu petempatan utama tentera British di Afghanistan.
Menurut akhbar The Sun, UK, Hannah berasa tertekan sepanjang perkhidmatannya di Kem Bastion di mana dia 'terpaksa' berkongsi khemah dengan enam pegawai lelaki yang lain.
"Ketika di Afghanistan saya terpaksa hidup dengan penuh kepura-puraan. Saya terpaksa berlakon di hadapan semua orang di sekeliling saya.
Winterbourne enggan mendedahkan nama asalnya dan menganggap ia sebagai kenangan masa lalu.
"Ini kerana di sana saya tidak mempunyai ruang langsung di mana saya boleh menjadi diri saya yang sebenar kerana segala-galanya kami terpaksa berkongsi bersama," ujarnya.
Hannah mendedahkan yang dia tidak dapat merasai perubahan dalam dirinya ketika dia muda.
Bagaimanapun ketika dia meningkat dewasa dia merasakan yang dirinya bukan seorang lelaki tetapi seorang wanita.
Walaupun berhadapan dengan dilema, Hannah tetap mahu meneruskan cita-citanya untuk menjadi seorang askar.
Pada usia 15 tahun, dia memilih untuk melanjutkan pengajian menengahnya di sebuah kolej tentera.
Dia lulus dengan cemerlang dan ditawarkan biasiswa untuk meneruskan pengajian tingginya dalam bidang kejuruteraan elektronik di Universiti Newcastle.
Selepas menamatkan pengajian tinggi di Newcastle, Hannah meneruskan karier tenteranya di Akademi Tentera Sandhurst.
Winterbourne bimbang kerjayanya akan berakhir selepas dia mengubah jantina tetapi sebaliknya berlaku.
Dia menamatkan latihannya sebagai pegawai bertauliah dan terus dihantar bertugas di Jerman.
Ketika di Jerman, Hannah sudah bersedia untuk menukar jantina tetapi berbelah bahagi kerana tidak pasti apakah tanggapan rakan-rakan sepasukannya nanti terhadapnya.
Tidak lama kemudian, dia dihantar ke Afghanistan pula, dan di sanalah dia membuat keputusan muktamad untuk menukar jantina.
Sebaik sahaja dia kembali ke United Kingdom serta di tempatkan di Kem Catterick, Yorkshire Utara, dia muncul ke kem tentera sebagai pegawai wanita.
Kini, sudah lebih setahun Kapten Hannah bertugas dengan identiti yang baru.
Kapten Hannah mengakui yang keluarganya berhadapan dengan kesukaran untuk menerima perubahan fizikal pada dirinya tetapi mereka tetap memberi sokongan moral dan peribadi.
"Mereka bimbang saya tidak akan dapat mengharungi kehidupan baru ini secara normal tetapi sekarang sedikit demi sedikit mereka sudah dapat menerima saya seadanya," ujarnya lagi.
Keputusan untuk menukar jantina dibuat selepas pulang dari Afghanistan.
Mengenai kerjayanya pula, kapten itu mengakui yang dia pada mulanya beranggapan yang perkhidmatannya akan berakhir sebaik sahaja dia membuat keputusan untuk menukar jantina tetapi kemudian mendapati yang pihak tentera sebenarnya mempunyai polisi yang terbuka mengenai status transgender sejak 1999.
Selepas melalui proses pertukaran identiti, dia kini masih meneruskan khidmatnya sebagai kapten dalam Kor Kejuruteraan Mekanikal dan Elektrikal Tentera Diraja British.

No comments: