Pages

Sunday, May 27, 2012

Derma organ di Facebook popular


CHICAGO 25 Mei - Pesakit yang memerlukan pemindahan organ kini didapati lebih gemar menggunakan laman sosial bagi merayu penderma yang bersesuaian dan usaha itu dilihat hampir mencapai matlamatnya.
Pasukan penyelidik dari Pusat Perubatan Universiti Loyola, di sini mendapati, hampir 100 halaman Facebook dibangunkan bagi mencari penderma buah pinggang untuk pesakit berumur antara dua hingga 69 tahun.
Ketua Penyelidik, Dr. Alexander Chang berkata, penggunaan media sosial menjadi jalan yang efektif bagi merayu pendermaan buah pinggang, namun kajian terperinci perlu dilakukan bagi menentukan bagaimana ia boleh dilakukan dengan lebih selamat.
Menurutnya, satu daripada lapan halaman yang dibangunkan berjaya membantu pesakit menemui penderma yang bersesuaian, manakala hampir satu pertiga (30 peratus) berkata, penderma berpotensi turut menyatakan kesudian seandainya organ mereka bersesuaian.
Tambah beliau lagi, sebanyak 37 peratus halaman dibangunkan oleh pesakit sendiri, 31 peratus oleh anak-anak mereka dan 32 peratus oleh ahli keluarga atau rakan-rakan.
Sesetengah halaman hanya sekadar meminta penderma tanpa menyatakan maklumat lanjut, namun ada juga yang menyediakan maklumat terperinci mengenai pesakit termasuk sejarah perubatan, gambar keluarga dan kisah yang menyentuh emosi.
Jeff Kurze dari Michigan, menderita kegagalan buah pinggang berikutan serangan strok pada 2010 dan doktor menyatakan proses menunggu memakan masa hingga lima tahun.
Isterinya, Roxy kemudian menggunakan Facebook bagi merayu penderma yang bersesuaian dan rayuan itu menarik minat seorang penderma lelaki yang tidak dikenali.
Setelah pemeriksaan dijalankan, organ tersebut didapati bersesuaian dengan Kurze dan dia selamat menjalani pembedahan.
Penyelidik juga mendapati, tiga peratus daripada halaman tersebut menerima tawaran bagi penjualan organ yang biasanya datang daripada penduduk negara dunia ketiga dengan bayaran antara sehingga AS$40,000 (RM120,000).
Bagaimanapun, penjualan organ salah di sisi undang-undang. - AGENSI

No comments: