Pages

Thursday, June 14, 2012

Penduduk Rakhine kurang makanan

Anggota polis mengawal keselamatan etnik Rohingya Islam yang terpaksa meninggalkan rumah masing-masing bersama barangan peribadi berikutan keganasan kaum dan agama yang berterusan di Sittwe, ibu negeri Rakhine, Myanmar, kelmarin. - AFP
SITTWE, Myanmar 13 Jun - Penduduk di negeri bergolak Rakhine di barat Myanmar, yang menghadapi keganasan kaum dan agama di negeri itu sejak lima hari lalu berdepan krisis kekurangan bekalan makanan.
Hujan lebat hari ini juga memburukkan lagi keadaan, setelah etnik Rakhine beragama Buddha dan Rohingya beragama Islam terpaksa meninggalkan rumah masing-masing akibat keganasan tersebut.
Kebimbangan tentang keganasan baru yang mungkin tercetus menyebabkan perkhidmatan bas dan feri dari Yangon dihentikan, sekali gus menjejaskan penghantaran makanan ke Sittwe, ibu negeri Rakhine.
Keadaan itu menyebabkan bekalan makanan sedia ada di bandar itu semakin berkurangan dan harganya naik mendadak.
Konflik itu juga menyebabkan kedai-kedai, bank, sekolah dan pasar ditutup.
Penasihat khas kepada Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Ban Ki-moon, Vijay Nambiar tiba di Rakhine, hari ini dan mengunjungi bandar Maungdaw yang bersempadan dengan Bangladesh bagi memantau dan menilai bantuan yang diperlukan Rakhine.
Sehingga kini, kira-kira 1,600 kediaman dilapor terbakar berikutan konflik kaum dan agama terburuk di Myanmar.
Seorang pegawai berkata, kira-kira 25 maut, sementara 41 yang lain cedera sepanjang lima hari rusuhan itu.
Seramai 1,500 etnik Rohingnya juga dilapor melarikan diri ke Bangladesh bagi mencari perlindungan, namun bot mereka tidak dibenarkan memasuki negara itu.
Pengarah Program Pelarian Pemerhati Hak Asasi Kemanusiaan, Bill Frelick hari ini mengeluarkan kenyataan mendesak Bangladesh membuka sempadan bagi membolehkan etnik Rohingnya berlindung. - AFP

No comments: