Pages

Sunday, May 27, 2012

25 kanak-kanak maut di Syria



GAMBAR daripada rakaman video di Youtube, menunjukkan mayat kanak-kanak yang terbunuh semasa satu bedilan tentera rejim di Houla, tengah wilayah Homs, Syria, kelmarin. - AFP
BEIRUT 26 Mei - Tentera rejim Syria didakwa membunuh lebih 90 orang termasuk 25 kanak-kanak dalam serangan ke atas bandar Houla, kata Pemantau Hak Asasi Manusia Syria hari ini.
Wakil badan pemantau tersebut, Rami Abdel Rahman berkata, tentera rejim melancarkan serangan sejak petang semalam sehingga lewat malam tadi.
"Penduduk kampung Taldau di Houla keluar dari kawasan itu bagi menyelamatkan diri,'' katanya.
Beliau menambah, penduduk bimbang serangan baru ke atas bandar itu yang terletak di tengah Homs.
"Tentera rejim menyerang pinggir bandar Houla semalam, menyebabkan penduduk luar bandar melarikan diri ke tengah bandar itu," kata Abdel Rahman.
Rakaman video yang disiarkan di laman web YouTube memaparkan imej ngeri sejumlah mayat kanak-kanak terbaring di lantai termasuk mayat seorang kanak-kanak dengan kepalanya hancur.
Badan pemantau yang beribu pejabat di Britain itu menuduh masyarakat Arab dan antarabangsa 'bersubahat' dengan rejim Syria dalam pembunuhan di Houla.
"Masyarakat antarabangsa hanya berdiam diri dalam pembunuhan yang dibuat oleh rejim Syria,'' kata badan itu. - AFP

No comments: