TIMIKA (Indonesia): Sebuah pesawat kecil terhempas ke kawasan pergunungan sejurus selepas membatalkan pendaratan di kawasan terpencil di wilayah Papua, semalam, membunuh seorang pembantu juruterbang warga Sepanyol.
Menurut pegawai penyelamat tempatan, juruterbang pesawat itu terselamat, tetapi mengalami kecederaan parah.
Ketua agensi penyelamat tempatan, Sumpeno Yuwono, berkata juruterbang terbabit membatalkan cubaan mendarat di lapangan terbang kecil di daerah Paniai selepas melihat ada orang kampung berkeliaran di landasan.
“Selepas meninggalkan kawasan itu, pesawat Cessna Grand Caravan milil Susi Air itu terhempas ke kawasan pergunungan kira-kira 11 kilometer dari situ,” katanya.
Menurut Sumpeno, juruterbang warga New Zealand itu dikejarkan ke hospital di bandar Timika, manakala mayat rakannya dihantar ke lapangan terbang berhampiran.
Seperti kebanyakan kawasan terpencil, landasan pendaratan di Paniai tidak berpagar dan orang kampung biasanya menjadikan ia laluan pintas.
Malah, kadang-kadang ada kanak-kanak menjadikannya sebagai padang permainan bola sepak. Pesawat itu terbang dari Nabire untuk menghantar makanan ke perkampungan di Timika. - AFP
'via Blog this'
No comments:
Post a Comment