TERANIAYA...Tunku Azwil (kiri) bersama Ahmad Zaki dan Zilah (kanan) ketika sidang media, semalam.
KUALA LUMPUR: Akibat pernah kehilangan kad pengenalan 11 tahun lalu, pemandu lori, Zilah Mahmood, 34, kini menerima hakikat dirinya diisytiharkan muflis.
Ini berikutan kegagalan Zilah menjelaskan bayaran ansuran bulanan dan tunggakan kenderaan Kia Spectra 1.5 dan Proton Wira yang dibeli atas namanya berjumlah lebih RM100,000 walaupun dia tidak pernah membelinya.
“Saya tidak pernah membeli kereta itu dan mustahil mampu berbuat demikian kerana hidup susah selain gaji tidak mencukupi.
“Saya tidak mengetahui apa-apa mengenai kereta berkenaan sehingga menerima surat daripada bank pada 2008 yang mahu mengisytiharkan muflis jika gagal melunaskan tunggakan kereta berkenaan,” katanya.
Perkara itu mengejutkan Zilah kerana dia tidak pernah melakukan urusan pembelian kereta dengan bank.
Difahamkan, pembelian kereta Kia Spectra itu dibuat pada 2003 dan pinjaman dilakukan menerusi cawangan bank berkenaan di Cheras. Ketika itu pula, Zilah berada di Kemaman, Terengganu dan bekerja sebagai penjaga parkir dengan gaji RM900 sebulan.
Selepas pemeriksaan, Zilah sekali lagi dikejutkan apabila dia diisytiharkan muflis terlebih dulu oleh sebuah lagi bank lain atas alasan sama iaitu gagal melunaskan ansuran bulanan sebuah lagi kereta Proton Wira yang turut didaftarkan atas namanya.
Menurutnya, kereta itu dibeli pada tahun sama dengan Kia Spectra itu dan pinjaman dibuat di Klang oleh individu lain yang menggunakan kad pengenalannya.
“Saya pernah kehilangan kad pengenalan pada 2001. Sepanjang tempoh itu sehingga sekarang, saya tidak pernah membuat pembelian dua kereta selang dua bulan pada 2003.
“Ia mengelirukan kerana saya hanya tahu mengenai pembelian kereta itu dan pengiktirafan muflis selepas membuat siasatan. Malah, saya juga tidak pernah dipanggil untuk menghadiri perbicaraan di mahkamah bagi pengisytiharan muflis yang pertama itu,” katanya.
Zilah yang ditemui dalam sidang media anjuran Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), di sini, semalam, turut mempersoalkan tindakan bank yang meluluskan pinjaman tanpa membuat pemeriksaan teliti terhadap dokumen pembeli.
Ia dipersetujui Pengerusi Majlis Penasihat PPIM, Tunku Azwil Tunku Abd Razak yang berpendapat perkara seperti kes Zilah tidak seharusnya berlaku apatah lagi ia membabitkan bank.
Sehubungan itu, PPIM membantu Zilah serta beberapa individu lain menerusi penyediaan khidmat peguam dan siasatan bagi membela orang ramai yang teraniaya.
“PPIM juga akan membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi melakukan siasatan ke atas bank bagi mengekang masalah penipuan seperti ini dari terus berlaku,” katanya.
'via Blog this'
No comments:
Post a Comment