Pages

Thursday, November 24, 2011

Rakyat tolak janji Hussein

KAHERAH: Beribu-ribu rakyat Mesir menunjuk perasaan di Dataran Tahrir semalam, menuntut pemerintahan tentera ditamatkan meskipun pemimpin sementara negara itu berjanji untuk menyerahkan kuasa kepada presiden yang dipilih menjelang pertengahan 2012.

Ketua pemerintah tentera, Hussein Tantawi yang menjadi Menteri Pertahanan ketika pemerintahan Hosni Mubarak tetapi mengambil alih kuasa selepas bekas presiden itu disingkirkan pada Februari lalu, berikrar dalam ucapan menerusi televisyen kelmarin untuk mengadakan pilihan raya presiden akhir Jun depan.


Beliau juga menyatakan kesediaan untuk menyerahkan kuasa serta-merta menerusi satu pungutan suara ‘jika rakyat berkehendakkan begitu.’ Bagaimanapun, puluhan ribu rakyat Mesir yang menyertai perhimpunan antitentera di Dataran Tahrir selepas berita mengenai ucapannya tersebar berkata, mereka tidak mempercayai walau sepatah perkataan yang diucap Hussein.

“Kami tidak boleh mempercayai kata-katanya. SCAF tidak melakukan apa-apa walaupun sudah berbulan-bulan berkuasa,” kata Ibtisam al-Hamalawy, 50, merujuk kepada Majlis Tertinggi Angkatan Tentera.


“Hussein ialah Mubarak yang berpakaian tentera,” kata akauntan, Ahmed Mamduh, 35.


Penunjuk perasaan di Dataran Tahrir membayangkan mereka tidak mahu mendengar apa-apa kecuali pengumuman menamatkan pemerintahan tentera.

Sejak penggulingan Hosni, kemarahan penunjuk perasaan terhadap masjlis tentera semakin meningkat.


Mereka menuduh majlis itu melanjutkan pemerintahan rejim lama dan bertindak ganas seperti era Hosni dalam usaha mengekang bantahan.

Tunjuk perasaan terbesar yang terbaru itu bermula Sabtu lalu, membawa kepada perletakan Kabinet, hanya seminggu sebelum pilihan raya Parlimen diadakan, yang pertama sejak Mubarak disingkir.


“Revolusi kedua,” tajuk akhbar prokerajaan, Al-Akhbar, dalam edisinya semalam.


“Perkara paling berbahaya yang boleh berlaku ialah hubungan yang semakin buruk antara tentera dan kerajaan,” kata akhbar itu. - AFP

myMetro | Rakyat tolak janji Hussein:

'via Blog this'

No comments: