Pages

Thursday, November 24, 2011

Sejadah tak hangus

IPOH: “Saya pelik apabila mendapati wang tunai RM5,000 yang diletak di atas sejadah langsung tidak terbakar walaupun seluruh bilik tidur kami hangus dijilat api,” kata mangsa kebakaran, Mohd Nizam Halmi, 35.

Dalam kejadian jam 10.30 pagi semalam, mangsa sempat menyelamatkan enam anak kecilnya daripada terperangkap selepas rumah teres dua tingkat didiami di Jalan Pakatan Jaya 4, Taman Pakatan, Bercham, di sini, terbakar mendadak.


Kebakaran berpunca dari sebuah bilik merebak sebelum memusnahkan seluruh tingkat atas rumah disewa mangsa sejak dua tahun lalu.

Nizam yang ditemui berkata, ketika kejadian dia sedang tidur bersama isterinya, Rohazlina Hamid, 30, dan bayinya, Nuraqil Soleh, enam bulan, di dalam bilik tidur utama di tingkat atas.


Menurutnya, dia dan isteri kepenatan kerana berniaga pakaian pada waktu malam, manakala lima anaknya menonton televisyen di tingkat bawah. “Bagaimanapun saya terkejut apabila seorang anak, Nurul Farhana, 6, tiba-tiba meluru sebelum menjerit dan memaklumkan rumah terbakar! “Saya bergegas bangun sebelum mendapati asap hitam merebak keluar dari celah pintu salah satu bilik anak kami,” katanya.


Menurutnya, dia cuba membuka pintu bilik yang terbakar itu, namun gagal berikutan ia berkunci dari dalam.

“Saya segera turun sebelum berusaha membuka pintu dan jeriji besi di hadapan rumah untuk menyelamatkan diri.


“Malangnya saya tidak menemui kunci pintu berkenaan sebelum isteri menyuruh saya keluar melalui pintu dapur,” katanya.

“Saya pastikan anak saya, Nuraqil, Nor Haiqal Taqwa, 3, Nurul Farhana, 6, Nur Daniel Iman, 9, Nur Shahira, 10 dan Nurul Natasha, 11, diselamatkan terlebih dulu. Selepas meletakkan mereka di kawasan selamat, saya cuba masuk menyelamatkan barang berharga pula.


“Malangnya kayu siling rumah yang terbakar mula jatuh menyebabkan saya tidak dapat naik ke tingkat atas,” katanya.


Menurutnya, kebakaran itu memusnahkan tiga bilik tidur di tingkat atas rumahnya dalam masa kurang 10 minit.


“Tiada apa dapat diselamatkan, malah semua dokumen penting anak seperti sijil kelahiran, MyKid dan pelbagai barang berharga lain musnah.


Nizam berkata, kebakaran itu padam sepenuhnya selepas tiga jentera bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Ipoh tiba ke lokasi kejadian tidak lama kemudian.


“Sebaik api dipadamkan sepenuhnya saya naik ke tingkat atas dan terkejut apabila mendapati beg pinggang berisi wang tunai RM5,000 hasil jualan yang diletak di atas sejadah langsung tidak terbakar.


“Malah, sejadah itu masih berada dalam keadaan baik walaupun tilam dan almari berhampirannya rentung,” katanya.


Bagaimanapun, dia sedih apabila wang bantuan persekolahan diterima RM400 untuk empat anaknya turut musnah dalam kebakaran itu.


“Walaupun sedih, saya bersyukur semua anak selamat,” katanya.

myMetro | Sejadah tak hangus:

'via Blog this'

No comments: