Pages

Thursday, November 24, 2011

Libya umum Kabinet baru


TRIPOLI 23 Nov. - Bekas pemberontak yang membantu menggulingkan pemimpin diktator Muammar Gaddafi dan peguam hak asasi manusia yang penahanannya mencetuskan revolusi, adalah antara mereka yang dilantik memegang jawatan penting dalam kerajaan baru Libya.

Perdana Menteri sementara, Abdel Rahim al-Kib (gambar) mengumumkan barisan Kabinet baru Libya dalam sidang akhbar semalam, sebulan selepas kematian Gaddafi yang memerintah negara ini selama 42 tahun.

"Semua rakyat Libya mempunyai wakil dalam kerajaan baru ini," kata al-Kib kepada wartawan ketika membuat pengumuman yang sepatutnya dibuat pada Ahad lalu.

Pengumuman ditangguhkan ekoran penangkapan anak lelaki Gaddafi, Saif al-Islam pada Sabtu lalu.

Osama al-Juwali yang merupakan komander di Zintan dan bertanggungjawab menahan Saif dilantik sebagai Menteri Pertahanan, manakala Fawai Abdelali dari bekas kumpulan pemberontak Misrata yang menangkap Gaddafi, dilantik menjadi Menteri Dalam Negeri.

Wakil Libya ke Kanada di bawah pemerintahan rejim Gaddafi yang menyertai pembangkang pada pada 1990-an, Ashur bin Khayyal pula dilantik sebagai Menteri Luar, sementara Abdel Rahman Yazza, bekas pegawai di syarikat tenaga utama Itali menjadi Menteri Minyak dan Gas.

Peguam Fethi Tarbel yang ditahan pada 15 Februari lalu dan menyebabkan tercetusnya kebangkitan rakyat menentang Gaddafi di bandar Benghazi, dinamakan sebagai Menteri Belia dan Sukan.

Al-Kib akan mengetuai 24 barisan Kabinet kerajaan sementara Libya ini yang telah mendapat undi percaya daripada Majlis Peralihan Kebangsaan. - AFP

Utusan Malaysia Online - Luar Negara:

'via Blog this'

No comments: