Pages

Thursday, November 24, 2011

Janji tentera Mesir ditolak



Penunjuk perasaan membaling batu ke arah polis anti rusuhan yang melepaskan gas pemedih mata semasa pertempuran dekat Dataran Tahrir di Kaherah, semalam. - REUTERS


KAHERAH 23 Nov. - Pengerusi Majlis Tertinggi Angkatan Bersenjata Mesir, Mohamed Hussein Tantawi yang berusaha menamatkan tunjuk perasaan jalanan yang mengorbankan 37 orang setakat ini, berjanji untuk menyerahkan tampuk pemerintahan kepada rakyat secepat mungkin.

Namun kenyataan itu tetap tidak dapat menyakinkan beribu-ribu penunjuk perasaan tegar yang masih bertempur dengan polis sepanjang malam tadi dan seorang lagi lelaki dilaporkan terbunuh awal hari ini di bandar kedua terbesar, Iskandariah iaitu satu daripada beberapa bandar yang bergolak.

Polis rusuhan yang mengawal laluan ke Kementerian Dalam Negeri berhampiran Dataran Tahrir pula melepaskan gas pemedih mata dan menggunakan peluruh getah untuk menyuraikan perusuh yang membalas dengan membaling batu ke arah polis, sepanjang malam tadi.

Tantawi yang mengetuai majlis tentera yang memerintah Mesir sejak tunjuk perasaan besar-besaran menggulingkan bekas Presiden Hosni Mubarak pada Februari lalu, berjanji untuk melantik presiden pilihan rakyat pada Jun tahun depan, kira-kira enam bulan lebih awal daripada tarikh sebelum ini.

Beliau turut mengesahkan pilihan raya Parlimen bebas pertama dalam tempoh beberapa dekad akan bermula Isnin ini, selain mengumumkan majlis tentera telah menerima peletakan jawatan perdana menteri rakyat dan anggota Kabinetnya.

Tantawi bagaimanapun mencetuskan kemarahan penunjuk perasaan yang kebanyakannya golongan muda di Dataran Tahrir dan beberapa bandar lain dengan mengusulkan satu pungutan suara sama ada pemerintah tentera perlu ditamatkan lebih awal.

Tindakan itu disifatkan ramai pihak sebagai helah untuk merayu sokongan rakyat Mesir yang bimbang pergolakan akan berterusan dan menjauhkan mereka dengan aktivis muda.

Pilihan raya Parlimen yang akan bermula Isnin ini adalah rancangan yang diputuskan pada mesyuarat antara tentera dan ahli politik, tetapi ia akan mengambil masa sehingga Januari depan untuk selesai.

Namun tidak jelas bagaimana pungutan suara mengenai pemerintah tentera akan dilaksanakan dan alternatif lain yang mungkin diusulkan sehinggalah pilihan raya presiden Jun depan. - REUTERS

Utusan Malaysia Online - Luar Negara:

'via Blog this'

No comments: