Pages

Tuesday, September 13, 2011

Naik perahu, harung banjir menoreh getah





2011/09/13

MAT Nawi menaiki perahu untuk menoreh getah di Kampung Lubuk Batil.
MAT Nawi menaiki perahu untuk menoreh getah di Kampung Lubuk Batil.
PASIR MAS: Seorang penoreh getah terpaksa menaiki perahu untuk menoreh di kebun getah miliknya selepas kawasan itu ditenggelami air sejak 10 tahun lalu selepas benteng yang didakwa dibina agensi kerajaan di Kampung Terusan, punca menyebabkan banjir. 

Mat Nawi Haron, 57, dari Kampung Jejawi terpaksa menghabiskan masa empat jam bermula jam 7 pagi untuk menoreh 200 pokok getah setiap hari di kawasan seluas dua hektar yang ditenggelami air dengan menggunakan perahu yang menyukarkan pergerakannya.
"Orang kampung sudah tahu cara saya menoreh iaitu isteri, Kalsom Hamat, akan mendayung perahu dan saya akan menoreh.
"Menoreh cara biasa hanya mengambil masa dua jam saja, berbanding empat jam menggunakan perahu," katanya ketika ditemui di sini, kelmarin. 

Mat Nawi mendakwa, dua daripada empat hektar kebun getahnya ditenggelami air selepas agensi kerajaan membuat benteng di sekitar sungai di Kampung Terusan menyebabkan kawasan kebunnya ditenggelami air. 

Berikutan masalah itu, katanya, pokok getahnya sudah banyak kali mati akibat ditenggelami air dan kemudian perlu ditanam semula. 

"Saya menanam semula anak pokok getah apabila tiba musim kemarau dan pokok itu akan hidup jika tempoh kemarau panjang melebihi tiga bulan," katanya yang terpaksa menanam semula banyak kali kerana masalah itu. 
Walaupun menghadapi masalah banjir, beliau dan isteri tetap meneruskan kerja menoreh yang memberi pendapatan sekurang-kurangnya RM500 sebulan. 

Selain itu, katanya, aktiviti mengutip getah beku juga perlu dilakukan menggunakan perahu. 

Sehubungan itu, Mat Nawi meminta kerjasama Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk menyelesaikan segera masalah pembinaan benteng itu dengan mengambil kira kesulitan terpaksa ditanggung penduduk. 

Sementara itu, seorang lagi penduduk, Mat Soud Yusuff, 64, berkata, beliau juga terpaksa mengharungi air untuk menoreh getah di kebunnya, sama seperti dilalui Mat Nawi. 

No comments: