KUANTAN - Tiga termasuk bakal penerima anugerah Datuk terkorban dalam kemalangan ngeri melibatkan tiga buah kenderaan di Kilometer 214.9, Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) berdekatan Plaza Tol Gambang di sini kelmarin.
Kenderaan yang terlibat dalam kemalangan itu adalah kereta Mercedes, Proton Satria dan kenderaan pacuan empat roda Toyota Hilux.
Tiga mangsa yang terkorban membabitkan pemandu kereta Mercedes, Yee Koi Chee, 68, dari Air Putih di sini, pemandu kereta Proton Satria, Mustafa Kamal Samah, 40, seorang pekerja di sebuah syarikat swasta di Awana Kijal, Kemaman dan pemandu Toyota Hilux Wong Hong Yen, 40-an.
Isteri Koi Chee, Shu@Chew Moy, 66, cedera parah.
Difahamkan, Koi Chee yang terlibat dalam industri pembalakan dijadual menerima darjah kebesaran yang membawa gelaran Datuk sempena Hari Keputeraan Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah pada 26 Oktober ini.
Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Pahang, Supritendan Mohamed Fauzi Abdul Rahim berkata, semasa kemalangan pada pukul 5.50 petang, Toyota Hilux dalam perjalanan dari arah Kuantan menuju ke Kuala Lumpur manakala kereta Mercedes dan Proton Satria dari arah Kuala Lumpur ke Kuantan.
"Sampai di tempat kejadian Hong Yen yang memandu Toyota Hilux secara sendirian hilang kawalan lalu terbabas masuk ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan kereta Mercedes dan Proton Satria di laluan bertentangan," kata beliau semasa dihubungi di sini semalam.
No comments:
Post a Comment