Pages

Tuesday, September 13, 2011

Tentera Mesir ketat darurat



DUBAI 12 Sept. - Majlis Pemerintah Tentera Mesir memperketatkan undang-undang darurat dengan menyenaraikan aktiviti seperti menyekat jalan, menyiarkan maklumat palsu dan memiliki senjata sebagai kesalahan di bawah undang-undang itu.
Menteri Dalam Negeri, Mansour el-Essawy ketika mengumumkan langkah itu di televisyen kerajaan, semalam juga memberi amaran, polis akan menembak sesiapa yang menyerang bangunan Kementerian Dalam Negeri atau balai polis.
Langkah itu diambil, selepas penunjuk perasaan menyerang Kedutaan Israel dan sebuah balai polis pada minggu lalu dan membawa kepada pertempuran dengan polis pencegah rusuhan mengakibatkan tiga orang maut dan lebih 1,000 lagi cedera.
Menurut agensi berita kerajaan, undang-undang darurat yang berkuat kuasa sejak bekas Presiden Hosni Mubarak mengambil alih kuasa pada 1981, akan digunakan untuk memerangi 'ancaman terhadap keselamatan negara dan keselamatan awam di negara ini, serta pemilikan dan perdagangan senjata api dan peluru, dan pengedaran dadah'.
Undang-undang itu juga akan digunakan untuk membanteras 'kegiatan samseng, sekatan terhadap kebebasan bekerja, tindakan mensabotaj kilang dan menahan pengangkutan, menyekat jalan dan sengaja menyiarkan khabar angin, berita atau maklumat palsu'.
Kerajaan, kelmarin mengumumkan akan melanjutkan tempoh undang-undang darurat, yang diperbaharui bagi tempoh enam bulan pada April lalu.
Undang-undang itu memberi kuasa meluas kepada pihak berkuasa untuk menahan suspek dan memindahkan kes ke mahkamah tentera dan mahkamah khas yang lain. - Reuters

No comments: