KAHERAH: Malaysian Hall Kaherah yang sepatutnya menempatkan 300 pelajar tajaan negara menjadi ‘hotel’ paling menyeksakan bagi sekumpulan 2,000 hingga 3,000 pelajar pelbagai jurusan sama ada yang datang sendirian atau tajaan negeri masing-masing ketika mereka berusaha keluar dari Mesir ketika revolusi memuncak, sekali gus menjadikan kawasan bangunan berkenaan padat umpama tin sardin.
Walaupun terpaksa bersesak-sesak dalam bilik asrama, pantri dan kaki lima bangunan yang dijadikan transit sementara ke lapangan terbang Mesir, mereka bersyukur kerana berasa selamat berada di kampus berbanding kawasan luar yang ketika itu seakan-akan tidak terkawal dengan bunyi tembakan yang sering kedengaran.
Pelajar tahun empat Universiti Al-Azhar, Mohd Faiz Isa, 25, berkata, ketika itulah semangat setia kawan antara pelajar Malaysia daripada pelbagai latar belakang dapat dilihat kerana masing-masing bertolak ansur untuk tinggal bersama di kawasan yang ketika itu terlalu menyeksakan akibat kesempitan ruang sedangkan ada antara mereka saling tidak mengenali antara satu sama lain dan tidak bertegur sapa sebelum ini.
“Bayangkan seksaan yang kami tanggung ketika itu, malah Malaysian Hall ini masih menerima pelajar kita yang terkandas di lapangan terbang atau mereka yang gagal ke sana dan dimaklumkan pegawai kita supaya menerima mereka walaupun kami terpaksa tidur dalam keadaan berdiri.
“Pegawai Malaysia memberitahu kami supaya menerima siapa saja rakyat Malaysia dan ketika itu semua warga kita sedang berusaha keluar dan bangunan inilah satu-satunya lokasi sesuai untuk mereka berhimpun sementara dihantar pulang ke Jordan atau pintu keluar lain sebelum ke Malaysia,” katanya.
Menurutnya, suhu ketika itu mencecah sehingga 2 darjah Celsius dan selain kesejukan, mereka terpaksa menahan kelaparan kerana stok makanan kehabisan dengan kehadiran luar biasa itu. Selain pengalaman berkenaan, anak kelahiran Johor itu juga mempunyai pengalaman yang sukar dilupakan ketika meredah malam melanggar perintah berkurung menyebabkan dia beberapa kali ditahan, namun bernasib baik ketika itu tentera sudah menguasai jalan sejurus perintah berkurung dikeluarkan dan pihak berkuasa berkenaan sebenarnya lebih bertimbang rasa jika alasan yang diberikan diterima akal.
“Saya memberitahu mereka terpaksa melanggar perintah mendapatkan bekalan makanan kerana ketika itu semua kedai sudah ditutup dan hanya sebuah kilang roti masih dibuka. Stok makanan di Malaysian Hall kehabisan menyebabkan saya memberanikan diri menaiki motosikal ke sana.
“Tidak tahulah nasib saya jika ditahan Amin Daulah (pasukan polis paling digeruni sebelum revolusi) pastinya dibelasah dan mungkin dibunuh kerana melanggar perintah mereka,” katanya.
Selepas memberi penjelasan dan memaklumkan ia untuk makanan pelajar Malaysia, saya dibenarkan pulang namun selepas difikirkan semula dia masih tidak tahu bagaimana dia sanggup berbuat demikian ketika itu.
“Semua ini kuasa Allah, mungkin dia memberi saya sedikit keberanian dan jika tidak saya pun pastinya ada orang lain yang akan berbuat demikian,” katanya yang mengusahakan kedai G-mart di situ.
No comments:
Post a Comment