Pages

Saturday, June 11, 2011

Jenazah 4 sekeluarga dikebumi satu liang


SUASANA pilu menyelubungi majlis pengebumian empat sekeluarga di Tanah Perkuburan Islam Jalan Kenas, Kuala Kangsar.
SUASANA pilu menyelubungi majlis pengebumian empat sekeluarga di Tanah Perkuburan Islam Jalan Kenas, Kuala Kangsar.


KUALA KANGSAR: Jenazah empat beranak yang terkorban dalam kemalangan ngeri di Kilometer 73 Jalan Kuala Kangsar-Grik di Sauk, dekat sini petang kelmarin, selamat disemadikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Jalan Kenas, di sini semalam.

Suasana hiba menyelubungi sebaik satu persatu jenazah iaitu pasangan pesara guru, Allahyarham Zenodin@Zainuddin Abas dan isteri, Azizah Mahmood, masing-masing berusia 69 tahun; anak perempuan mereka, Zalinda, 33, serta cucu yang juga anak Zalinda, Aishah Suffian Afendi, 7, diturunkan ke dalam liang.
Suami Zalinda, Suffian Efendi Ahmad Apandi, 35, yang bertugas sebagai Ketua Pegawai Eksekutif sebuah syarikat di ibu negara, hanya mampu menahan sebak menyambut jenazah isteri, anak dan kedua ibu bapa mentuanya sebelum teresak-esak sebaik mula menyiram pusara selepas selesai pengebumian kira-kira jam 11.30 pagi.
Beliau bagaimanapun enggan ditemubual wakil media kerana terlalu sedih dengan tragedi terbabit, malah perasaan sama turut dikongsi sanak saudara terdekat keluarga itu yang berada di tanah perkuburan berkenaan.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.40 petang kelmarin, kereta dipandu Zenodin yang dalam perjalanan pulang dari kampung keluarga isterinya di Pasir Mas, Kelantan ke rumah mereka di Taman Sultan Yusuf, Bukit Chandan, di sini dipercayai terbabas sebelum merempuh besi penghadang jalan yang kemudian tertusuk masuk ke dalam kenderaan.

Seorang lagi anak perempuan Zalinda, Nurul Sarah, 2, parah dan masih dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh.

Sementara itu, anak kedua Zenodin, Zalita, 42, pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), berkata ibu bapanya memang selalu berjalan jauh termasuk ke ibu negara melawatnya dan empat lagi adik beradik, tetapi tidak pernah terbabit dalam kemalangan walaupun arwah bapanya menghidap darah tinggi.
Dalam perkembangan berkaitan, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Tenaga dan Air negeri, Datuk Ramly Zahari, berkata laluan menghubungkan Kuala Kangsar-Grik sepanjang kira-kira 200 kilometer itu memang banyak merekodkan kemalangan maut sejak beberapa tahun lalu. Berita Harian Online | Jenazah 4 sekeluarga dikebumi satu liang

No comments: