Pages

Saturday, June 11, 2011

‘Saya reda’


Zuhaina Tengkis, 27

SEREMBAN: “Saya maafkan penjenayah itu walaupun isteri disahkan buta dan tidak dapat dipulihkan lagi,” kata Nor Azman Jani, 30, suami kepada mangsa simbahan asid di sekitar Mantin, tiga bulan lalu.
Menurut Nor Azman, tiada guna dia menyimpan dendam terhadap penjenayah itu dan apa yang penting harapannya mahu melihat isteri, Zuhaina Tengkis, 27, terus bersemangat dan pulih bagi menjalani kehidupan harian.

Katanya, dia sebak melihat isterinya itu yang melecur di muka dan badan, malah disahkan kornea matanya rosak dan tidak dapat dipulihkan.

“Nasi sudah menjadi bubur, tiada gunanya saya menyimpan dendam terhadap mereka (penjenayah), semoga kejadian ini tidak terjadi kepada orang lain. “Setiap masa isterinya memberitahu malu apabila suami melihat rupa parasnya yang rosak dan berparut apabila terkena asid. Saya selalu maklumkan kepada isteri supaya usah malu. “Saya tetap sayangkan dia hingga akhir hayat walaupun muka dia hancur disimbah asid,” katanya ketika ditemui Harian Metro, di sini, semalam.

Menceritakan semula kejadian itu, Nor Azman berkata, dia mengetahui kejadian itu, kira-kira jam 9.30 malam, apabila isterinya menjerit meminta tolong ketika sampai di rumah mereka di Kampung Orang Asli Belihoi, Mantin, di sini.


“Saya bergegas keluar rumah dan terkejut melihat muka isteri menjadi putih kemerahan, malah matanya hancur, isteri sempat memberitahu dia disimbah asid dua lelaki menaiki motosikal berpakaian seragam Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela),” katanya yang sebak melihat isterinya sekarang.

Malah, katanya, kedua-dua anaknya, Issac Alexander Julius, 9, dan Jemimah, 7, takut mendekati ibu mereka yang mempunyai rupa dan paras berubah.

“Penat saya yakinkan mereka (anak) supaya tidak takut dengan ibu, namun kini sudah biasa dan tidak takut lagi mendekati ibu mereka,” katanya. Sementara itu, Zuhaina ketika ditemubual kelihatan sedih dan masih terkejut atas kejadian menimpanya hingga meragut rupa parasnya.

“Mengapa mereka sanggup melakukan perbuatan itu ke atas diri saya yang tidak pernah bermusuh dengan sesiapa pun sebelum ini,” katanya. Menurutnya, sebelum ini, dia berasa seperti tiada semangat untuk hidup apabila mendapati keadaan diri yang hilang penglihatan akibat tragedi ngeri berkenaan.

“Kadang-kala, terfikir lebih baik mati daripada menyusahkan hidup orang lain. Namun, apabila memikirkan suami dan dua anak kesayangan, kekuatan tiba-tiba datang kembali.


“Mereka insan membuatkan saya bersemangat meneruskan kehidupan. Saya pasrah dengan ketentuan tertulis,” katanya.


Menceritakan semula detik cemas itu, kata Zuhaina, dia membonceng motosikal ditunggang adik saudaranya ke pekan Mantin menemui rakan baik yang mahu mengajak makan kerana baru memperoleh gaji, jam 8 malam, 2 Mac lalu.


“Namun, kira-kira jam 9 malam, ketika tiba di Lapang Sasar Mantin sejurus selesai makan, sebuah motosikal dari arah sama memotong dan melihat dua lelaki menyapa kami dengan menyebut hai.


“Seorang iaitu pembonceng yang memegang kotak air minuman menyimbah sejenis cecair ke muka saya.


Menurutnya, ketika kejadian tiada sesiapa melalui kawasan itu menyebabkan dia pulang ke rumah sambil menahan kesakitan.


Sementara itu, Ketua Jabatan Oftalmologi (Mata) Hospital Tuanku Ja’afar Seremban (HTJS), Dr Bethel Livingstone, berkata, kedua-dua belah mata mangsa tidak dapat dipulihkan sepenuhnya apabila kornea, kelopak mata, dan sel mata rosak teruk.


“Hospital berusaha memulihkan rupa paras mangsa dengan melakukan pembedahan plastik,” katanya.

myMetro | ‘Saya reda’

No comments: