Pages

Saturday, June 11, 2011

Makmal syabu di kondo


AMPANG: Polis menyerbu unit kondominium yang dijadikan makmal memproses dadah dipercayai jenis syabu membabitkan nilai rampasan lebih RM4.6 juta, kelmarin.
Dalam serbuan jam 1.40 tengah hari itu, pasukan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya menerima maklumat orang awam yang mencurigai pergerakan dua lelaki di sebuah kondominium Taman Ampang Utama, di sini.

Difahamkan, seorang penduduk di kondominium berkenaan melihat dua lelaki terbabit mengusung dua beg pakaian keluar dari sebuah rumah dalam keadaan mencurigakan sebelum menghubungi polis.
Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah berkata, bertindak atas maklumat itu sepasukan polis menjalankan risikan dan menahan dua lelaki terbabit di kawasan letak kenderaan kondominium itu.

“Hasil pemeriksaan polis menemui 23 kilogram (kg) dadah dipercayai jenis syabu. Kami menahan kedua-dua lelaki itu dan membongkar makmal dadah di dalam rumah di tingkat 15 kondominium berkenaan.

“Polis turut merampas beberapa peralatan memproses syabu iaitu beberapa botol cecair ‘meth’, ketuhar gelombang mikro, dapur gas, periuk dan peralatan lain,” katanya pada sidang media di IPD Ampang Jaya, di sini, semalam.
Menurutnya, daripada rampasan syabu yang sudah diproses itu dianggarkan mampu menghasilkan 77,680 tiub malah cecair yang dirampas dan belum diproses itu turut dianggarkan mampu menghasilkan lebih 40kg syabu lagi.

“Hasil siasatan suspek berusia 26 tahun berasal dari Seri Kembangan adalah pekerja pembantu kedai dobi. Hasil ujian air kencing dia didapati positif dadah. “Manakala seorang lagi yang ditahan berusia 29 tahun berasal dari Jalan Genting Klang, Gombak dan berniaga di gerai. Kedua-dua mereka mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan curi kenderaan dan samun,” katanya.
Tun Hisan berkata, kedua-duanya ditahan reman bermula semalam mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 bagi membantu siasatan lanjut.

“Kami percaya rumah itu dijadikan tempat memproses dadah jenis syabu. Malah, syabu yang dihasilkan itu disyaki untuk pasaran tempatan. Bagaimanapun, siasatan lanjut berhubung perkara itu masih dijalankan,” katanya.

Selain itu, beliau menggesa orang ramai supaya sentiasa peka dengan keadaan sekeliling dan membantu polis dengan menyalurkan maklumat berhubung keadaan mencurigakan dan perlakuan jenayah.
myMetro | Makmal syabu di kondo

No comments: