Pages

Saturday, June 11, 2011

Israel mahu sekat PBB iktiraf negara Palestin

BAITULMAQDIS: Israel akan melancarkan kempen diplomatik bagi menggagalkan usaha pemimpin Palestin untuk mendapatkan pengiktirafan Pertubuhan Bangsa-Bangsa (PBB) mengenai penubuhan negara Palestin dalam sidang September depan, lapor akhbar Haaretz semalam.

Kementerian Luar Israel sudah mewujudkan Forum September dan mengarahkan semua utusannya berusaha memujuk negara lain untuk melawan usaha Palestin itu, kata akhbar itu yang memetik kertas sulit kementerian.

“Sasaran yang ditetapkan ialah mempunyai seberapa banyak mungkin bilangan negara yang membantah proses PBB mengiktiraf negara Palestin,” kata Ketua Pengarah Kementerian Luar, Rafael Barak dalam satu nota dalaman.
Kertas itu mengarahkan diplomat bertemu dengan ahli politik paling kanan dan mengerahkan organisasi tempatan, media dan pendapat umum untuk menentang undian pengiktirafan negara.

Pemimpin Palestin, Mahmud Abbas, berkata Palestin akan memohon pengiktirafan daripada PBB untuk diterima sebagai anggota dunia di Mesyuarat Agung PBB pada September jika rundingan damai tidak dilanjutkan.

“Pertelingkahan utama ialah untuk melanjutkan proses ini kepada PBB, Palestin cuba untuk mendapatkan sasaran mereka selain daripada mengadakan rundingan dengan Israel dan ini melanggar prinsip untuk menyelesaikan konflik menerusi rundingan dua pihak,” tulis Barak.

Diplomat akan memfokuskan usaha di Eropah kerana banyak negara di benua itu belum memutuskan sokongan terhadap usaha Palestin.
“Matlamat kami ialah untuk mencipta gerakan menentang pengiktirafan negara Palestin di September dengan mewujudkan blok penting Kesatuan Eropah (EU) yang suara mereka menolak dari awal tindakan satu pihak Palestin, “ kata ketua jabatan Eropah Barat, Naor Gilon, menurut Haaretz. – AFP
Berita Harian Online | Israel mahu sekat PBB iktiraf negara Palestin

No comments: