Pages

Saturday, June 11, 2011

Dipenjara tiga tahun


MELAKA: Gara-gara menayangkan video lucah kepada seorang wanita warga asing yang juga penumpang bas yang dipandunya, seorang bapa empat anak dijatuhi hukuman penjara tiga tahun oleh Mahkamah Sesyen, di sini, semalam.
Hakim Zaharah Hussain menjatuhkan hukuman itu terhadap pemandu bas, P Kanapathy, 38, dan memerintahkan ia berjalan mulai semalam.

Terdahulu, tertuduh meminta mahkamah supaya meringankan hukuman dengan alasan mempunyai empat anak berusia antara empat hingga lapan tahun apabila tiga daripadanya masih bersekolah, manakala isterinya tidak bekerja.
Tertuduh turut mengakui tindakan menayangkan video lucah adalah satu kesalahan apabila soalan mengenainya diaju Zaharah terhadapnya.

“Kalau isteri awak menaiki bas dan pemandu melakukan tindakan sama seperti apa yang awak lakukan terhadap mangsa, adakah awak mahu? Bermakna tindakan awak juga salah,” katanya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Akmalhana Mohammed meminta hukuman maksimum dikenakan terhadap tertuduh kerana cuba mengambil kesempatan terhadap mangsa pada waktu malam dan tindakan itu mengundang pelbagai perkara buruk.
Mengikut pertuduhan, Kanapathy didakwa dengan sengaja menunjukkan secara awam gambaran video cakera padat (VCD) lucah dengan maksud menawar atau mencuba melakukan sesuatu perbuatan yang menjadi kesalahan terhadap mangsa, 32, dalam sebuah bas bernombor nombor pendaftaran AFC 4311 di tepi Jalan Bukit Kajang ke Tehel, kira-kira jam 8.15 malam, 6 Jun lalu.

Bagi pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 292, Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga tiga tahun atau denda atau kedua-duanya.
Sebelum itu, tertuduh mengaku tidak bersalah terhadap satu lagi pertuduhan iaitu cuba merogol mangsa sama di lokasi dan tarikh yang sama kira-kira jam 10.45 malam.

Bagi pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Sesyen 376/511, Kanun Keseksaan yang boleh dijatuhi hukuman penjara lima hingga 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan. Harian Metro Rabu lalu melaporkan, kejadian wanita warga Indonesia yang dalam perjalanan ke negeri ini dengan menaiki sebuah bas ekspres nyaris diperkosa pemandu terbabit di sebuah ladang kelapa sawit.

Pemandu itu dipercayai sudah merancang dari awal untuk mencari mangsa bagi memuaskan nafsunya apabila menayangkan filem lucah sebaik menyedari wanita itu menjadi penumpang terakhir perjalanan dari Kuala Lumpur menuju ke Teminal Melaka Sentral itu.

Lelaki terbabit kemudiannya melencongkan bas dipandu ke arah laluan ke daerah itu selepas menyedari peluang untuk merogol mangsa.

Mangsa bernasib baik apabila suspek gagal meneruskan niat jahat untuk menodainya selepas dua anggota polis yang melakukan rondaan dengan kereta peronda terserempak dengan bas berkenaan yang dalam keadaan mencurigakan.

Ini berikutan enjinnya masih hidup sebelum anggota polis menghampiri bas berkenaan dan terdengar jeritan wanita sebelum berjaya memberkas pemandunya.

Zaharah menetapkan 13 Julai ini sebagai tarikh perbicaraan.
myMetro | Dipenjara tiga tahun

No comments: