Pages

Saturday, June 11, 2011

‘Saya tak tipu’


Aminulrasyid Amzah

SHAH ALAM: Koperal Jenain Subi yang didakwa menyebabkan kematian Aminulrasyid Amzah, 15, dalam satu kejadian tembakan di Seksyen 11, di sini, tidak dapat mengawal perasaan hibanya selepas membela diri daripada pertuduhan itu, di Mahkamah Sesyen, semalam.
Anggota polis yang hadir dengan memakai jaket dan kopiah mengalirkan air mata sebaik mendapatkan ahli keluarganya yang berada di galeri awam. Terdahulu, Jenain, 48, memberitahu dia tidak berbohong dalam semua keterangannya di mahkamah berhubung apa yang berlaku pada malam kejadian yang berakhir dengan kematian Aminulrasyid. Saksi itu juga tidak bersetuju dengan cadangan Timbalan Pendakwa Raya, Idham Abd Ghani bahawa dia tidak jujur sebagai anggota polis ketika memberi keterangannya itu. “Saya tidak setuju,” katanya ketika membela diri atas tuduhan menyebabkan kematian Aminulrasyid di Jalan Tarian 11/2, Seksyen 11, jam 1.10 pagi, 26 April tahun lalu.

Bapa kepada empat anak itu didakwa mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 30 tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Aminulrasyid disahkan maut akibat luka tembakan di kepala. Pada prosiding semalam, pendakwaan turut dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Dusuki Mokhtar. Tertuduh pula diwakili peguam bela, M Athimulan dan Salim Bashir. Jenain berkata, semua 21 das tembakan yang dilepaskan ke bahagian bawah Proton Iswara yang dipandu Aminulrasyid hanya bertujuan memberhentikan kenderaan itu yang lari daripada pemeriksaan polis.

Katanya, dia melepaskan tembakan di Jalan Tarian selepas mendapati selamat untuk berbuat demikian.


Namun katanya, tindakannya melepaskan tembakan itu bukan berniat untuk menyebabkan kematian mangsa.

Sementara itu, pada awal prosiding, Mahkamah Sesyen menolak permohonan pihak pendakwaan yang mahu laporan polis yang dibuat Jenain berhubung kejadian tembakan yang berakhir dengan kematian Aminulrasyid itu.

Hakim Latifah Mohd Tahar ketika membuat keputusan itu berkata, pihak pendakwaan sepatutnya mengemukakan dengan lebih awal semua dokumen digunakan dalam perbicaraan kepada pihak pembelaan.

Prosiding bersambung pada 17 Jun ini.
myMetro | ‘Saya tak tipu’

No comments: