Pages

Wednesday, September 21, 2011

Tiga maut serangan bom di Turki




API kebakaran marak di kawasan letupan bom di pusat bandar raya Ankara, Turki, semalam. - REUTERS


ANKARA 20 Sept. - Satu letupan kuat dipercayai berpunca daripada bom di dalam kereta menyebabkan sekurang-kurangnya tiga terbunuh dan 15 orang cedera di ibu negara Turki ini, hari ini.
Belum ada pihak yang mengaku bertanggungjawab tetapi serangan itu berlaku ketika pemberontak Kurdis yang menuntut autonomi di tenggara Turki memperhebatkan serangan ke atas sasaran di negara ini.
"Kami menerima maklumat sebutir bom dipasang di dalam sebuah kenderaan yang meletup di daerah Kizilay di pusat bandar," kata Timbalan Perdana Menteri, Bulent Arinc.
Menurut televisyen NTV, letupan tersebut menyebabkan tingkap-tingkap kedai dan pejabat di kawasan sekitar pecah dan mencetuskan api yang kemudiannya dipadamkan oleh anggota bomba.
Sekurang-kurangnya tiga mangsa terbunuh dan sesetengah daripada mangsa yang cedera dilaporkan kehilangan kaki atau tangan.
"Saya merasai kesan daripada letupan yang berlaku kira-kira 500 meter jauhnya," kata seorang saksi, Ekrem Erkoc.
Agensi berita Anatolia melaporkan, letupan itu berlaku di hadapan pejabat pentadbir tempatan Chankaya di daerah Kizilay. - AFP

No comments: