LEGA...Mohd Afifuddin (kiri) dipeluk ayahnya Md Tahir Ali sambil diperhatikan ibunya Arifah Ahmad sebaik tiba di KLIA, semalam. |
SYUKUR...Muhammad Khairil Anum mencium
tangan ibunya, Normahani Mohd Yunus
|
SEPANG: “Kami terpaksa berjimat cermat dua bulan bagi memastikan duit simpanan mencukupi untuk menampung perbelanjaan makan, minum dan membayar sewa rumah berikutan kesukaran mengeluarkan wang dari bank,” kata Mohd Afifuddin Md Tahir, 22.
Pelajar tahun satu jurusan Sastera Arab dan Syariah dari Maahad Dauli, Damsyik, Syria itu berkata, persatuan pelajar di institusi pengajian tinggi berkenaan turut mengambil inisiatif meminta bantuan rakan yang ke Lubnan dan Jordan untuk mengeluarkan wang pelajar lain.
“Kami meminta bantuan rakan yang pergi ke dua negara itu mengeluarkan wang untuk kami.
“Ini kerana jika ingin pergi sendiri ia mengambil masa tiga jam, jadi kami menyerahkan kad mesin pengeluaran wang automatik (ATM) kepada rakan dan meminta mereka mengeluarkan wang secukupnya untuk kegunaan kami sepanjang di universiti,” katanya.
Mohd Afifuddin yang berasal dari Kedah ditemui sebaik tiba bersama 47 pelajar Malaysia lain di Lapangan Terbang Antarbangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini, melalui penerbangan Emirates EK 0346 dari Dubai, petang semalam.
Kos penerbangan pulang dibiayai penuh Wisma Putra dan Kementerian Pengajian Tinggi.
Laporan sebelum ini menyatakan lebih 200 pelajar Malaysia di Syria mengikat perut selepas Amerika Syarikat mengenakan sekatan ke atas kad kredit di negara itu, mengakibatkan mereka gagal mengeluarkan wang simpanan.
Berikutan itu, kerajaan memutuskan membawa mereka pulang menerusi penerbangan komersial atau operasi khas.
Kumpulan kedua pelajar dari negara itu dijangka pulang ke tanah air, 29 September ini.
Pelajar jurusan Sastera Arab dari Universiti Mujama Al-Fatah Islamiah, Damsyik, Omar Farouq Mohd Ali Rojab, 24, berkata keadaan di kota itu terkawal dan tidak seteruk dilaporkan media.
Katanya, pelajar Malaysia selamat cuma perlu sentiasa berwaspada.
No comments:
Post a Comment