Pages

Wednesday, September 21, 2011

Belasah percuma

SAKIT...mata kanan Mohd Syawal yang lebam.
SAKIT...mata kanan Mohd Syawal yang lebam
MERU: Malang bagi seorang pekerja bengkel apabila dibelasah hingga pengsan sebelum ditinggalkan di tepi jalan penyerangnya yang tersilap sasaran menyerang mangsa untuk membalas dendam terhadap orang lain.
Dalam kejadian kira-kira jam 7 malam pada Sabtu lalu, mangsa yang cedera teruk di mata, muka, kepala dan badan selepas ditumbuk serta dipijak hingga pengsan oleh tiga lelaki warga asing berusia 30-an dimasukkan ke wad Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang, dekat sini.

Mangsa, Mohd Syawal Rosnaini, 25, berkata kejadian berlaku kira-kira 100 meter dari rumahnya di Kampung Perepat, di sini, ketika dia baru pulang dari tempat kerjanya.

“Rumah saya dengan tempat kerja di bengkel besi kira-kira dua kilometer dan saya biasanya ikut jalan dalam serta tak pakai topi keledar.

“Ketika berhenti di simpang tiga Jalan Keretapi Lama menuju rumah, tiba-tiba muka saya ditumbuk seorang lelaki yang berada di simpang itu.

“Saya terjatuh sebelum datang dua lagi lelaki membelasah saya. Kepala, muka dan badan saya ditumbuk serta dipijak bertubi-tubi hingga tak sedarkan diri,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Perepat, semalam, selepas dibenarkan keluar hospital.


Menurutnya, dia tersedar dari pengsan di dalam kereta bapanya, Rosnaini Ahmad, 52, ketika dalam perjalanan ke hospital pada hari kejadian.

Syawal berkata, rakannya yang membantu serta memberitahu kejadian kepada bapanya memberitahu dua daripada tiga warga asing itu ditangkap beberapa penduduk, manakala seorang lagi melarikan diri.

“Rakan saya menyatakan selepas didesak berulang kali dua lelaki terbabit mengakui mereka tersilap orang kerana menyangka saya mengugut wang seorang daripada penyerang itu beberapa hari sebelum kejadian.

“Mereka sangka saya melakukan perbuatan itu dan mahu membalas dendam,” katanya.

Sementara itu, Rosnaini berkata, dia terkejut apabila seorang daripada rakan anak sulungnya itu datang ke rumah dan memaklumkan Syawal pengsan tepi jalan.

“Dengan dibantu penduduk, saya membawa Syawal ke hospital,” katanya.

Dia membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Klang Utara, Superintendan Mohamad Shukor Sulong, ketika dihubungi mengesahkan kejadian.

No comments: