MARANG - Hasrat bekas Ahli Parlimen Dungun, Datuk Awang Jabar untuk menghadiri sebuah majlis yang dihadiri Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak kesampaian apabila dia maut dalam kemalangan semalam.
Dalam kejadian pada pukul 7.10 pagi itu, kereta dinaiki Awang bertembung dengan sebuah kenderaan serbaguna (MPV) yang dinaiki enam pelancong warga Yemen di Kilometer 26, Jalan Kuala Terengganu-Kemaman dekat Kampung Alor Tumang di sini.
Awang, 66, yang juga bekas Setiausaha Parlimen Kementerian Belia dan Sukan (1984 hingga 1990) meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala. Turut terkorban ialah seorang pelancong Yemen, Nesmah Nabil Abdul Karem, 25.
Sementara itu, lima lagi penumpang MPV terbabit cedera parah dan dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) dekat sini manakala pemandu Awang, Abdul Razak, 67, hanya cedera di muka.
Warga asing yang parah dikenali sebagai Muhamad Mazan Jamal, Muhamad Hassan, Muhamad, Najda dan Fairus. Masing-masing berusia lingkungan 20-an dan 30-an.
Difahamkan, kejadian itu berlaku apabila kereta Perodua Alza yang dinaiki enam pelancong Yemen itu cuba memotong kenderaan di hadapan tetapi hilang kawalan sebelum bertembung dengan kereta jenis Mercedes Benz yang dinaiki Awang dan pemandunya.
Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik negeri, Supritendan Alias Hashim berkata, mangsa dijadualkan menghadiri satu majlis pemimpin bersama masyarakat dan pegawai-pegawai kanan kerajaan yang turut dihadiri Muhyiddin di Dungun pada pagi semalam.
No comments:
Post a Comment