Pages

Wednesday, September 21, 2011

Bekas Setiausaha Parlimen terbunuh


Foto
JENAZAH Nisma Nabil di tempat kejadian selepas kenderaan ditumpangi terbabit nahas dengan kereta dinaiki Awang di kilometer 26 Jalan Kuala Terengganu-Kuantan berhampiran Kampung Alur Tuman, Kelulut, semalam.

Foto
MUHYIDDIN mengucup jenazah Awang sambil disaksikan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said (dua dari kiri) di Jalan Terkukur, Kuala Terengganu.

Awang Jabar terbabit nahas ketika dalam perjalanan ke majlis lawatan kerja Muhyiddin
Foto


MARANG: Bekas Setiausaha Parlimen Kementerian Belia dan Sukan yang kini Pegawai Khas Agama Menteri Besar Terengganu, Datuk Awang Jabar, 66, terbunuh apabila kereta dinaikinya bertembung dengan sebuah Perodua Alza di Kilometer 26, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan berhampiran Kampung Alor Tuman, Kelulut, di sini, pagi semalam.
Dalam kejadian jam 7.10 pagi itu, Allahyarham yang juga Pengerusi Biro Pemantau UMNO Terengganu menaiki Mercedes-Benz dikatakan dalam perjalanan menghadiri program lawatan kerja sehari Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ke Terengganu, di Dungun.
Turut terbunuh dalam kemalangan itu ialah penumpang Perodua Alza iaitu wanita warga Yaman, Nisma Nabil Abdul Karim al-Saiban, 25, manakala pemandu Mercedes-Benz dan enam penumpang Alza, cedera. 

Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik negeri, Superintendan Alias Hahsim, berkata kereta dinaiki Awang bertembung dengan sebuah kereta lain yang dikatakan terbabas ketika mengam-bil selekoh di jalan itu.

“Allahyarham meninggal dunia di tempat kejadian kerana kecederaan parah di leher, manakala pemandunya hanya cedera ringan,” katanya ditemui di Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini, semalam.

Alias berkata, Perodua Alza dinaiki enam rakyat Yaman itu dalam perjalanan dari Dungun menghala ke Kuala Terengganu dikatakan gagal dikawal dan terbabas ketika melalui selekoh, lalu bertembung dengan kereta mangsa. 
Allahyarham Awang adalah bekas Ahli Parlimen Dungun selama empat penggal sejak 1978 hingga 1990 dan menjadi wakil rakyat bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi pada 1995.

Jenazah Allahyarham dibawa pulang ke rumahnya di Jalan Tekukur, Kuala Terengganu dan disembahyangkan di Masjid Al Muktafibillah Shah, Kuala Terengganu, sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sheikh Ibrahim. 

Sementara itu, Muhyiddin berkata, Allahyarham antara sahabat karibnya yang banyak berbakti kepada negara.

“Sebagai rakan seperjuangan, saya menghargai pengorbanannya dan berharap segala jasanya kepada rakyat mendapat keberkatan Allah. Saya juga mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham,” katanya selepas menziarah keluarga Allahyarham di Jalan Terkukur di sini, petang semalam. 

No comments: