Pages

Thursday, September 8, 2011

Serangan berani mati, 24 maut


Seorang anggota keselamatan Pakistan mengangkat seorang kanak-kanak perempuan yang cedera dalam kejadian letupan bom di Quetta, semalam. - AP



QUETTA, Pakistan 7 Sept. - Seramai 24 orang terbunuh, manakala 82 lagi cedera termasuk timbalan ketua pasukan separa tentera dalam serangan berkembar di barat daya Pakistan, yang menjadikan pasukan keselamatan yang bertanggungjawab menangkap anggota kanan al-Qaeda pada minggu ini sebagai sasaran.
Pegawai kanan polis, Hamid Shakil berkata, seorang penyerang meletupkan keretanya yang dipenuhi bom di luar rumah timbalan ketua pasukan separa tentera di bandar Quetta, sebelum penyerang kedua meletupkan dirinya di dalam rumah berkenaan.
''Sekurang-kurangnya 24 orang maut dan 82 orang lagi cedera.
''Timbalan ketua pasukan tersebut cedera dan isterinya terbunuh dalam serangan tersebut, manakala dua kanak-kanak merupakan antara mangsa terbunuh,'' katanya.
Beliau berkata, tujuh anggota pasukan itu termasuk seorang pegawai turut terbunuh.
Kediaman timbalan ketua pasukan separa tentera itu terletak berdekatan bangunan kerajaan dan kediaman pegawai kerajaan lain di bandar berkenaan.
Isnin lalu, tentera mengumumkan penangkapan seorang anggota kanan al-Qaeda, Younis al-Mauritani yang dipercayai bertanggungjawab merancang serangan ke atas Amerika Syarikat (AS), Eropah dan Australia.
Dia ditangkap di luar bandar Quetta bersama dua lagi orang kanan al-Qaeda hasil kerjasama antara agensi risikan AS dan Pakistan.
Dua lagi anggota kanan al-Qaeda itu dikenal pasti sebagai Abdul Ghaffar al-Shami dan Messara al-Shami.
Pegawai keselamatan berkata, mereka diangkap awal minggu lepas dalam operasi di bandar Satellite, kawasan luar bandar Quetta. - AFP
-UTUSAN

No comments: