Pages

Thursday, September 8, 2011

Kereta terbakar angkara penagih

Sofian Aminsah melihat keadaan keretanya yang rosak akibat dijilat api kesan daripada pembakaran sampah di kawasan letak kereta PPR Batu Muda, Jalan Ipoh, Kuala Lumpur semalam.
KUALA LUMPUR 7 Sept. - Empat buah kenderaan rosak selepas terkena bahang dan disambar api, berpunca daripada sampah yang dibakar oleh sekumpulan penagih dadah di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Batu Muda, Jalan Ipoh di sini awal pagi ini.
Difahamkan, pembakaran longgokan sampah berhampiran tempat letak kereta itu dilakukan penagih berkenaan yang ingin mengambil besi daripada sofa dan tilam yang dibuang penduduk.
Kejadian yang merosakkan bahagian belakang tiga buah kenderaan dan bahagian depan sebuah kereta itu dipercayai berlaku pada pukul 4 pagi.
Kenderaan milik penduduk yang rosak itu terdiri daripada dua buah Toyota Vios, Nissan Terrano dan sebuah Proton Wira.
Pemilik Nissan Terrano, Sofian Aminsah, 42, berkata, dia mengetahui kenderaannya terbakar selepas dimaklumkan oleh jiran mengenai kebakaran berkenaan pada pukul 4.15 pagi.
"Ketika itu api masih marak, terdapat penduduk lain cuba memadam api dengan mencurah air tetapi gagal. Saya juga tidak berani mengalih kenderaan itu kerana bimbang api menyambar.
"Api dapat dipadam selepas itu dengan bantuan pasukan Bomba dan Penyelamat. Hasil pemeriksaan saya dapati bahagian belakang kenderaan itu rosak termasuk tayar ganti," katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Tambahnya, dia menganggarkan kerosakan yang ditanggungnya akibat kejadian itu hampir RM6,000.
Pemilik Toyota Vios, Iesa Atan, 60, pula memberitahu, dia menyedari keretanya rosak akibat kebakaran berkenaan pada pukul 6 pagi ketika mahu keluar.
"Berbanding kereta lain yang turut disambar api, kereta saya hanya rosak di bahagian lampu dan bumper belakang kerana kesan bahangnya," ujarnya.
Katanya, kerugian yang ditanggungnya dianggarkan berjumlah RM3,000.

No comments: