Pages

Thursday, September 8, 2011

Gaddafi dikepung penentang

TRIPOLI: Penyokong kerajaan baru Libya berjaya mengepung kedudukan Muammar Gaddafi dan bekas pemimpin mereka itu cuma menunggu masa untuk ditangkap atau terbunuh, kata jurucakap Majlis Peralihan Kebangsaan (NTC), semalam.

Anis Sharif tidak menyebut di mana Gaddafi ditemui tetapi berkata dia masih di Libya dan dikesan menggunakan teknologi tinggi dan sumber perisikan.
“Dia tidak dapat keluar,” kata Sharif, yang menambah pemberontak sudah bersedia sama ada untuk menahan atau menangkapnya. Gaddafi terperangkap dalam lingkungan 60 kilometer kawasan yang dikepung pemberontak, katanya.
Mengesan Gaddafi akan membantu mengukuhkan kedudukan pemerintah baru negara itu. Pengumuman dibuat selepas konvoi kumpulan yang setia dengan bekas pemimpin itu, termasuk ketua pasukan keselamatannya, melarikan diri merentasi Sahara ke Niger dalam langkah yang diharapkan pemberontak dapat membawa kepada kejayaan merampas kubu kuat terakhirnya.

Sebahagian pemberontak menyifatkan usaha melarikan diri ke Niger sebagai pemergian beramai-ramai penyokong paling kuat Gaddafi tetapi maklumat sah mengenai bilangan dan identiti mereka yang meninggalkan negara itu sukar disebabkan keluasan padang pasir melebihi 1,600 kilometer.

Di ibu negara Niger, Niamye, jurucakap presidennya, Massoudou Hassoumi, berkata ketua keselamatan Gaddafi menyeberangi padang pasir ke Niger diiringi oleh pemberontak Tuareg, Isnin lalu.

Kerajaan Niger mengerah konvoi tentera untuk mengiringi Mansour Dao, bekas komander Pengawal Revolusi Libya yang juga sepupu Gaddafi selain pegawai yang rapat dengannya, ke Niamey.
Dao ialah satu-satunya tokoh kanan Libya yang memasuki Niger, kata Hassoumi, yang menafikan laporan Gaddafi atau anggota keluarganya berada dalam konvoi itu.
Hassoumi berkata, sekumpulan sembilan orang termasuk beberapa ahli perniagaan pro-Gaddafi, selain Agaly ag Alambo, ketua pemberontak Tuareg dari Niger yang mengetuai kebangkitan yang gagal di utara negara itu sebelum menyeberang ke Libya, dan dipercayai bertempur untuk Gaddafi.

Jurucakap Jabatan Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Victoria Nuland, memberitahu wartawan: “Kami tiada bukti menunjukkan Gaddafi berada di tempat lain selain Libya buat masa ini.”

Sejak kejatuhan Tripoli bulan lalu ke tangan pemberontak, kumpulan yang setia kepada Gaddafi dilihat menyeberangi sempadan padang pasir yang memisahkan Libya dengan Niger. Ia termasuk pejuang Tuareg yang juga rakyat Niger dan negara jirannya, Mali, yang bertempur bagi pihak Gaddafi. – AP 

No comments: