MAYAT salah seorang mangsa serangan senjata api di Nevada ditutup dengan kain terbaring di hadapan sebuah restoran di Carson City, Nevada, kelmarin. – REUTERS |
LOS ANGELES 7 Sept. – Tiga orang terbunuh manakala lapan lagi cedera apabila seorang lelaki bersenjata rifal melepaskan tembakan ke arah sekumpulan Pengawal Kebangsaan yang sedang bersarapan di sebuah restoran di Nevada, Amerika Syarikat (AS), semalam, sebelum penyerang terbabit menembak dirinya sendiri.
Penyerang tersebut, Eduardo Sencion, 32, menggunakan rifal AK-47 dalam serangan awal pagi itu di restoran di Carson City, menyebabkan dua anggota Pengawal Kebangsaan dan seorang wanita terbunuh dan lapan yang lain cedera, termasuk tiga anggota pengawal.
“Kejadian ini sangat menyedihkan. Kebanyakan mangsa yang berada di restoran itu merupakan Pengawal Kebangsaan yang masih memakai uniform,” kata Sheriff Ken Furlong.
Saksi yang berada di tempat kejadian menghubungi perkhidmatan kecemasan pada pukul 9 pagi (12 tengah malam waktu Malaysia) selepas mereka ternampak seorang lelaki (penyerang) di tempat letak kereta di restoran International House of Pancakes tersebut.
Lima anggota Pengawal Kebangsaan terdiri daripada tiga lelaki dan dua perempuan, sedang mengadakan perbincangan sambil bersarapan ketika Sencion masuk ke restoran itu dan melepaskan tembakan ke arah mereka.
Penyerang terbabit mati tidak lama kemudian selepas menembak dirinya.
Menurut rekod polis, Sencion, yang merupakan kelahiran Mexico dan menetap di Carson City, memiliki pasport AS dan tidak mempunyai rekod jenayah lampau.
Lelaki berusia 32 tahun itu telah bermalam di Carson City selepas pulang dari South Lake Tahoe, di mana dia bekerja.
Menurut media tempatan, keluarganya menyatakan tiada apa yang pelik mengenai Sencion pada malam Isnin, namun dia mungkin menghadapi masalah kesihatan mental.
Dua senjata lain yang tidak digunakan turut dijumpai di tempat kejadian selain rifal AK-47 yang digunakan oleh Sencion.
Sementara itu, beberapa jam sebelum serangan di Nevada itu, satu lagi kejadian serupa membabitkan seorang lelaki berusia 22 tahun di Morgantown, West Virginnia, melepaskan tembakan dan membunuh lima orang sebelum melarikan diri ke Pennsylvania sebelum ke Kentucky, di mana dia menembak mati dirinya apabila berdepan dengan pihak polis.
Penyerang dikenali sebagai Shayne Riggleman dari Morgantown, yang bertindak membunuh mangsa menggunakan rifal berkuasa tinggi, lapor televisyen WBOY.
Di Warren County di luar New York pula, pejabat Sherif berkata, seorang bapa telah menembak mati dua anak perempuannya sebelum bertindak menembak mati dirinya sendiri. – AFP
-UTUSAN
No comments:
Post a Comment