Pages

Thursday, September 8, 2011

24 hilang tempat tinggal

Kebakaran jam 2.30 pagi musnahkan rumah lapan keluarga

JOHOR BAHRU: Seramai 24 penduduk daripada lapan keluarga yang berjiran sejak puluhan tahun lalu, tinggal sehelai sepinggang apabila rumah papan yang didiami mereka musnah dalam kebakaran ketika semua mangsa sedang nyenyak tidur, awal pagi semalam.

Meskipun dalam kejadian di Kampung Batu 8 1/2 Skudai kira-kira 2.30 pagi itu, semua mangsa hilang tempat tinggal dan kemusnahan semua harta benda, namun masing-masing bernasib baik kerana sempat menyelamatkan diri tanpa sebarang kecederaan.
Kebakaran itu pantas merebak memusnahkan keseluruhan rumah penduduk terbabit yang dibina secara bersesak dalam kawasan seluas kira-kira 50 meter persegi sejurus api bermula dari sebuah kediaman di situ.
Mangsa, Goh Ah Moi, 63, berkata beliau tidak menyedari kebakaran dikatakan bermula di rumahnya sebelum dikejutkan dari tidur oleh anak dan dua cucu perempuan yang tinggal bersama sejurus terjaga sebaik saja terhidu bau asap menyelubungi seluruh ruang rumah mereka.

“Ketika itu, kami hanya terdengar jeritan meminta semua penduduk keluar selamatkan diri kerana api sedang marak dengan pantas,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian semalam.

Buruh, Loi Tek Foo, 56, berkata keluarganya menyedari kebakaran terbabit apabila isterinya, Sia Kui Fong, 56, tersedar dari tidur sejurus terhidu bau asap.

“Sebaik tersedar, kami berhimpun ke ruang tengah rumah dan mendapati api sedang memusnahkan sebahagian dinding. Dalam suasana cemas itu, kami hanya memikirkan usaha menyelamatkan diri,” katanya.
Ketua Zon Johor Bahru, Penguasa Bomba R Saiful Iswandy R Hassan, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam mengenai kebakaran yang berlaku kira-kira jam 3 pagi.

“Empat jentera bomba merangkumi dua Balai Johor Bahru dan masing-masing sebuah dari Taman Universiti dan Kulai dikejarkan ke lokasi.

“Kesan kebakaran itu dapat dipadamkan sepenuhnya jam 9.45 pagi ini. Setakat ini, punca sebenar kebakaran itu serta nilai kerugian masih dalam siasatan," katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Gelang Patah, Tan Ah Eng, yang bergegas meninjau lokasi kejadian itu menghulurkan sumbangan masing-masing RM500 kepada setiap keluarga mangsa. 
-UTUSAN

No comments: